Berkomunikasi dengan anak remaja

Alam remaja merupakan suatu proses perkembangan yang dilalui oleh setiap manusia. Proses ini membawa kepada perubahan yang perkembangan fizikal, mental dan juga sosial diri seseorang.

Oleh sebab itu ibu bapa seharusnya memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih optimum kepada anak remaja.

Remaja dan permasalahan sememangnya sukar dipisahkan. Hal ini menjadi bertambah rumit bagi sesetengah ibu bapa kerana sukar untuk memahami dan berkomunikasi dengan anak remaja mereka.

Menurut pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani, kebanyakan ibu bapa merasakan mereka sudah menjalankan tanggungjawab dan memberikan perhatian yang sewajarnya tetapi bagi remaja itu masih belum cukup.

''Komunikasi membawa maksud suatu proses penyampaian fikiran dan perasaan melalui bahasa, mendengar, bicara gerak tubuh dan ungkapan emosi.

''Melalui komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja dapat melahirkan hubungan seimbang dan harmoni serta membentuk suasana keterbukaan dan saling mendengar antara satu sama lain," ujarnya.

Jelasnya, berkomunikasi dengan sesiapa pun termasuk dengan anak sendiri memerlukan teknik dan cara yang betul.

''Hal ini penting agar nasihat dan pesanan yang akan kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh anak,'' tegasnya.

Oleh hal yang demikian, ada beberapa kaedah yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja.

''Sebagai ibu bapa mereka perlu membina suatu hubungan yang rapat dengan anak remaja supaya apabila berkomunikasi nanti mereka dapat menerima dan memahami maksud yang ingin disampaikan," katanya.

Namun tegas Dr. Saedah, kebanyakan ibu bapa sering merasakan diri mereka lebih tahu segalanya sehingga menyebabkan hak sebagai anak dipertikaikan.

''Seharusnya, sebagai ibu bapa mereka bertindak menjadi pendengar yang setia supaya anak remaja dapat meluahkan masalah dengan selesa,'' katanya.

Malah katanya lagi, tidak salah jika ibu bapa menerima dan memahami perasaan remaja bila mereka menghadapi sesuatu situasi sama ada sedih, gembira, marah, sakit hati dan sebagainya.

Menurutnya, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.

''Sewajarnya ibu bapa perlu mengenal diri sendiri dan mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka ketika berkomunikasi dengan anak remaja,'' ujar Dr. Saedah yang menjelaskan kaedah diplomasi banyak membantu mendidik anak-anak dalam berkomunikasi.

Komunikasi

Dalam pada itu, ibu bapa juga harus mengenali diri anak remaja. Jika diperhatikan dengan mendalam remaja lazimnya mempunyai konsep diri yang unik dan ini penting bagi ibu bapa untuk memahami dan memiliki pengetahuan tentang sikap, emosi dan perubahan serta gaya hidup remaja.

Masalah dalam berkomunikasi ini sebenarnya disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan anak.

Oleh itu, ibu bapa perlu meningkatkan kemampuannya dan mencuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

Perasaan memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi, kerana jika seseorang mengalami perasaan gembira, ini akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan pendapat atau meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

Hal sebaliknya akan berlaku jika mereka berasa marah sedih atau kecewa.

''Pada dasarnya keperluan manusia yang paling penting adalah keinginan agar perasaannya difahami, didengari, dihargai dan dirinya dapat diterima,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url