Tekanan punca berlaku peningkatan berat badan

Semua orang mengalami tekanan perasaan. Cuma yang membezakan tekanan di antara seseorang individu ialah tahap tekanan dan bagaimana seseorang menyelesaikan masalah yang menjadi punca tekanan.

Ramai tidak menyedari mereka tertekan sehinggalah badan menunjukkan tanda tekanan secara emosi atau fizikal. Namun, ada kemungkinan stres atau tekanan berkait rapat dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

Penambahan berat badan berlaku apabila kita mengambil makanan berlebihan atau terlalu banyak kalori dalam sehari. Ia juga berhubungkait apabila berlakunya tekanan dalam diri seseorang terutama mereka sentiasa stres.

Ini menyebabkan mereka cenderung makan lebih banyak terutama makanan tidak sihat seperti makanan manis dan berperisa. Ini adalah hasil perubahan kimia dalam badan apabila seseorang tertekan.

Secara psikologi, keadaan tertekan menyebabkan individu memilih makanan yang boleh menyenangkan dan mententeramkan hati. Dalam keadaan sebegini, sudah semestinya seseorang tidak lagi menghiraukan apa yang mereka makan dan kaitannya dengan keperluan badan.

Jarang sekali, mereka yang tertekan memikirkan kualiti makanan yang dimakan, tetapi apa yang difikirkan hanyalah makanan itu dimakan selagi ia memberi kelegaan. Inilah suatu keadaan yang seharusnya diperbetulkan semula apabila seseorang mengalami tekanan dan ia perlu bermula dengan bagaimana menyelesai dan menutup permasalahan yang menyebabkan berlakunya tekanan.

Kecenderungan mereka yang tertekan untuk makan dengan lebih banyak tanpa rasa bersalah adalah satu kelaziman. Jika pengambilannya dapat dikawal, ia tidak mendatangkan suatu permasalahan. Namun, dikhuatiri apabila keadaan ini berterusan sehingga mampu menyebabkan peningkatan berat badan mendadak.

Akhirnya bukan keadaan fizikal dirisaukan, sebaliknya kemudaratan yang diundang akibat berlebihan berat badan menjadi suatu permasalahan yang melanda kesihatan awam masa kini. Masalah diabetes, penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan komplikasinya menular menjadi kerisauan masyarakat moden kini berikutan perubahan gaya hidup serta tekanan dihadapi dalam kehidupan seharian.

Tekanan dihadapi masyarakat kita hari ini cukup terbeban dengan masalah kehidupan seperti kesesakan lalu lintas, bebanan di tempat kerja, mengejar ‘dead lines’, masalah kewangan, rumah tangga, pencemaran bunyi, penyakit, kesunyian dan masalah lain yang bersangkut paut, silih berganti menyumbang kepada tekanan.

Kemungkinan, secara fizikal, kita tidak mampu menghadapi tekanan harian itu ditambah lagi dengan gaya hidup masyarakat yang kurang aktif di samping diet tidak sihat akan menambahkan stres dihadapi dan tidak hairan jika pertambahan berat badan juga berlaku.

Ramai di antara kita juga tidak menyedari akan berlakunya proses penghadaman agak perlahan apabila seseorang mengalami tekanan. Ini disebabkan penghasilan enzim penghadaman dan bekalan darah ke usus yang menurun. Ia berlaku secara semula jadi kerana lebih banyak darah disalurkan ke otak untuk mengurangkan tekanan.

Disebabkan itu, penghadaman berlaku perlahan dan zat makanan tidak diserap dengan optimum. Secara semula jadinya, kelenjar adrenal dalam badan bertanggungjawab menyesuai dan mengatasi masalah stres dihadapi, tetapi apabila terbeban, berkemungkinan berlakunya masalah lain dalam sistem tubuh kita.

Seseorang menjadi ketagih mengambil makanan berperisa dan bergula bagi meningkatkan paras hormon adrenalin dalam badan. Sekiranya berlarutan, ketagihan ini bukan setakat meningkatkan berat badan, malah pelbagai masalah kesihatan lain turut diundang.

Di samping hormon adrenalin dirembeskan, badan juga mengeluarkan hormon kortisol. Hormon kortisol berlebihan dalam badan menyebabkan tahap gula dalam darah tidak teratur dan punca diabetes.

Selagi seseorang itu dalam tekanan dan tidak menguruskan tekanan dengan baik, maka selagi itulah proses itu berlaku supaya badan dapat menyesuaikan dengan keadaan. Maka, ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Di samping kita mengatasi masalah tekanan dihadapi dengan mengurangkan punca tekanan, menggunakan teknik mengawal tekanan dengan betul atau mengubah cara kita bertindak mengatasi tekanan, kita juga perlu merawat tekanan dihadapi melalui diet pemakanan yang baik dan seimbang. Antara kaedah dianjurkan dalam Islam ialah makan sebelum lapar dan berhenti apabila kenyang.

Amalan ini mudah diamalkan lebih-lebih lagi apabila seseorang tertekan dan cenderung makan lebih banyak. Apabila berasa lapar, seharusnya mengambil snek yang berkhasiat untuk melapik perut. Tetapi tidak boleh mengamalkan ‘skip meal’ supaya kita tidak cenderung makan lebih banyak makanan berkalori tinggi selepas itu.

Snek terbaik adalah yang mengandungi protein, lemak dan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh, biskut, yogurt yang disertakan dengan buah dan kacang.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url