Teluk Danga simbol warisan rakyat Malaysia

Oleh Teo Kok Seong
Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penggunaan nama Teluk Danga dan bukan lagi 'Danga Bay' sejak kebelakangan ini, memperlihatkan bahawa masih ada pihak yang menyedari betapa pentingnya warisan Melayu itu kepada bangsa dan negara Malaysia. Syabas dan tahniah kepada pihak berkenaan.

Penggunaan bahasa asing dalam memberi nama misalnya, dilihat oleh sesetengah pihak di negara ini sebagai usaha ‘neutralisasi’.

Sebagai contoh, nama ‘Alza’ daripada bahasa Sepanyol pada kereta nasional kita, serta lain-lain daripada bahasa Inggeris, antaranya dipercayai dapat menjadikan bangsa dan negara Malaysia lebih kosmopolitan pada mata dunia, dan berjaya pula menjadikan kita warga dunia yang bebas daripada nasionalisme dan sentimen kenegaraan yang sempit.

Sebenarnya tidak, melainkan ia mengikat kita dengan satu budaya asing yang tidak pun boleh menjadikan kita hebat. Malah sebaliknya ia boleh menjadikan kita bangsa yang daif, yang sanggup meninggalkan warisan diperturunkan secara utuh oleh nenek moyang kita.

Penggunaan walaupun sepatah kata asing, lebih-lebih lagi yang tidak menjadi kata serapan dalam bahasa Melayu, langsung tidak dapat mengaitkannya dengan budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan.

Bahasa dan budaya berkait rapat antara satu sama lain. Sehubungan ini, bahasa Melayu dan tradisi Melayu serta rakyat Malaysia berkait rapat pada tiga aspek. Pertama, bahasa Melayu adalah bahasa ibunda orang Melayu dan bahasa negara (selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi) bagi rakyat Malaysia.
Apabila kita menggunakannya, maka berlakulah rujukan secara tepat lagi sebati dengan pemikiran, pola dan cara hidup orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sehubungan ini, kata ‘bay’ sudah tentu tidak dapat memberi rujukan tepat lagi sebati, jika dibandingkan dengan kata ‘teluk’ kepada ‘bahagian laut yang menganjur masuk ke darat’, seperti yang kita fahami.

Kedua, bahasa Melayu adalah simbol kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Simbol ini akan tetap dikaitkan dengan orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam sebarang keadaan, sama ada yang positif mahupun yang negatif.

Justeru, simbol ini tidak dapat sama sekali dipisahkan daripada orang Melayu dan rakyat Malaysia, walau bagaimana sekali pun kita cuba, lebih-lebih lagi secara negatif, iaitu dengan meninggalkan bahasa Melayu dan menggantikannya dengan bahasa asing. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks ‘Danga Bay’ dan lain-lain seperti ‘Agrobank’ dan ‘Mara Liner’, walau bagaimana mulia hasrat kita, tidak dapat menjadi simbol kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ketiga, bahasa Melayu adalah komponen penting kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sehubungan itu, agak pelik kalau tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia, dinyatakan dan direalisasikan melalui bahasa asing, misalnya dengan penggunaan bahasa Inggeris, dalam bentuk ‘Star Hill’ kini untuk menggantikan tempat yang dahulunya dikenali sebagai ‘Bukit Bintang’.

Nama dalam bahasa Inggeris menggantikan yang dalam bahasa Melayu itu, sudah tentu bukan komponen penting dalam tradisi kita. Penggantian ini sesungguhnya adalah petanda bahawa kita dijajah semula oleh pihak asing.

Bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan adalah bahasa penting pada zaman ini. Ia adalah alat utama untuk menimba ilmu. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris adalah akses kepada pendidikan dan teknologi. Nilainya kepada kita adalah pada aspek ini saja dan tidak lebih daripada itu.

Dalam konteks kaitan antara bahasa dengan budaya, bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan adalah alat pengekalan selain penyebaran budaya Inggeris/Barat. Kita harus berwaspada mengenai hakikat ini agar tidak terperangkap dengan usaha sesetengah pihak, sama ada secara langsung sifatnya atau sebaliknya, untuk kita mengiktiraf dan sete rusnya menerima nilai-nilai budaya Inggeris/Barat itu.

Bahasa Inggeris tidak boleh sekali-kali menggantikan bahasa Melayu iaitu bahasa negara kita. Ini adalah kerana khazanah budaya Melayu adalah teras kepada kebudayaan kebangsaan, tersimpan dalam bahasa Melayu.

Sehubungan ini, bahasa Melayu bukan saja menjadi inti pati kepada tradisi dan warisan Melayu, malah juga pengalaman dan akal budi orang Melayu selaku penutur natifnya. Segala pengetahuan dan pengalaman itu terkandung dalam bahasa Melayu.

Orang Melayu dan rakyat Malaysia bergantung kepada bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, untuk menyampaikan semua itu kepada generasi mendatang. Dalam hal ini, nama dalam bahasa Melayu, iaitu ‘Teluk Danga’ dan jutaan yang lain, adalah rujukan tepat, simbol dan komponen penting kepada budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan, khususnya dalam usaha kita mendidik generasi muda.

Nama dalam bahasa Inggeris, iaitu ‘Danga Bay’ tidak dapat dikaitkan dengan budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan daripada pelbagai segi. Antaranya termasuklah amalan dan tradisi serta alam unik orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ini adalah kerana bahasa Inggeris tidak pernah mempunyai hubungan akrab dengan tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia kerana minda sebahagian besar kita rata-ratanya tidak pernah ada kaitan dengan budaya Inggeris/Barat.

Natijah yang ingin disampaikan di sini ialah apabila kita banyak menggunakan bahasa orang lain, dan lupa akan kaitan penting antara bahasa dengan budaya, kita akan lambat laun hilang seluruh tradisi kita, yang sebetulnya mempunyai banyak kaitan dengan sejarah, aspirasi selain kemanusiaan kita yang unik.

Dengan kata lain, kita akan hilang konsep diri sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia. Ini adalah kerana bahasa Melayu adalah sistem simbol utama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url