TLDM struktur semula organisasi
Ketumbukan laut itu juga memutuskan untuk memanjangkan tempoh latihan rekrutnya daripada empat kepada lima bulan bagi memperkasa latihan anggota baru, manakala kuota penyertaan wanita ditingkat daripada empat kepada lapan peratus dengan peluang sama rata diberikan kepada mereka untuk menjawat jawatan di kapal-kapal, mulai tahun ini.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata penggunaan struktur organisasi baru sebahagian daripada pelan tindakan mentransformasikan TLDM yang akan dibuat sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan seterusnya RMK-11.
"Penggantian Struktur Organisasi TLDM 1996 dengan Struktur Organisasi TLDM 2010 bakal dibuat dengan mengambil kira perkembangan pasukan dalam 14 tahun yang lalu dan peranan masa depannya," katanya berucap menyampaikan perutusannya pada Istiadat Perbarisan dan Perarakan Panji-Panji Sempena Hari TLDM Ke-76 bertemakan 'Warga Didahulukan, Kesiagaan Diutamakan' di Pangkalan TLDM Lumut di sini, semalam.
Beliau turut menyampaikan beberapa pingat dan anugerah kepada pegawai dan anggota TLDM, selain melancarkan penerbitan dua buku dihasilkan warga pasukan itu. Hadir sama, Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Sebelum ini, TLDM melancarkan Strategi Pertahanan Maritim dan Pelan Pembangunan TLDM sebagai sebahagian usaha mentransformasikan pasukan itu, manakala dalam tempoh jangka sederhana TLDM melancarkan Pelan Strategik TLDM atau 'The Navy Plan 2010-2013' dengan menggariskan enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) termasuk menentukan kesiagaan aset dan membangunkan modal insan.
Abdul Aziz berkata, pelanjutan tempoh latihan rekrut TLDM pula untuk meningkatkan kualiti latihan, selain sejajar usaha menambah baik dasar sumber manusia TLDM atau modal insan yang menekankan struktur kerjaya kemahiran pelbagai (multi skill) bermula tahun ini.
"Konsep latihan modular bagi pegawai dan anggota PSSTLDM (Pasukan Simpanan Sukarela TLDM) juga diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan mereka," katanya.
Abdul Aziz juga berkata, TLDM berharap kerajaan dapat melaksanakan pembelian tiga kapal bantuan pelbagai guna (MRSS), tambahan enam kapal peronda (PV) generasi kedua serta perolehan empat lagi kapal latihan dalam RMK-10 sebagai keperluan menggantikan 70 peratus aset usang.
Menjelas lanjut pada sidang medianya, beliau berkata perolehan PV mestilah dari jenis kapal tempur persisir bagi menyesuaikan fungsi TLDM sebagai pasukan pertahanan dan bukannya rondaan. Bagaimanapun, kesemua status perolehan itu hanya akan diketahui Jun atau Julai ini menjelang pembentangan bajet.
Beliau juga mengakui TLDM melaksanakan langkah penjimatan secara berkesan dalam aspek operasinya seperti penggunaan bahan api, air dan elektrik, malah meraikan ulang tahun penubuhan pasukan itu secara sederhana.
- BERITA HARIAN