Top Ad 728x90

,

Malaysia capai negara tua 2035

Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2035 apabila pecahan peratusan warga emas berusia 60 tahun ke atas meningkat kepada 15 peratus, hasil peningkatan jangka hayat penduduk negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid, berkata unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai status itu dibuat berikutan peratusan bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, jangka hayat penduduk negara ini pada 2005 ialah 71.4 bagi lelaki dan 76.2 bagi wanita berbanding 63.5 bagi lelaki dan 67.1 bagi wanita pada 1980.

“Malah, banci penduduk pada 2000 mencatatkan bilangan warga emas 1.45 juta atau 6.2 peratus daripada jumlah penduduk ketika itu dan bilangan golongan berkenaan semakin meningkat kepada lebih dua juta atau 7.1 peratus daripada 28.31 juta jumlah penduduk pada tahun lalu,” katanya, ketika merasmikan seminar ‘Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan’ di sini, semalam.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Halijah Yahya.
“Kerajaan sememangnya mengambil serius kadar penuaan yang semakin meningkat dan cabaran menangani keperluan ini sedang diberi perhatian.

“Ini termasuk kita mengkaji semula Dasar Warga Tua Negara yang digubal pada 1995 dan Pelan Tindakan Warga Tua Negara 1998 untuk mewujudkan dasar dan pelan lebih mantap,” katanya.

Mengulas perkara sama, Halijah berkata, perkembangan itu disebabkan ramai anak muda negara ini tidak berkahwin menyebabkan kadar kelahiran lebih rendah berbanding kematian.

“Fenomena ini sangat membimbangkan dan kami menyarankan supaya satu kajian dibuat untuk mencari penyelesaian terhadap masalah terbabit,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90