Bola sepak dan kegembiraan Piala Dunia 2010

Sebulan lagi - 11 Jun hingga 12 Julai - kehidupan ramai orang akan berubah. Piala Dunia, kali ini Afrika Selatan sebagai tuan rumah, akan kembali lagi menyajikan satu teater kehidupan.

Sebulan lagi ramai orang akan sengaja melupakan banyak hal lain. Pekerjaan, hobi malah sering kali isteri terpaksa dikorbankan demi keasyikan dan keterujaan Piala Dunia.

Piala Dunia umpama sihir, umpama candu. Pesta bola sepak empat tahun sekali ini bukan sekadar sukan.

Seperti kehidupan, ia serba kompleks, kaya tipu helah dan penuh kejutan.

Malah ada melayannya bagai agama. Jarang orang bertukar-tukar agama, begitu juga pasukan bola sepak yang menjadi pujaan.

Fanatisme kepada sesebuah pasukan biasanya kekal dari muda hingga tua. Ia tidak semudah berganti baju.

Sekarang ini pun bahang Piala Dunia edisi ke-19 sudah begitu dirasai. Di sana sini ada Piala Dunia. Jersi pasukan negara peserta ada di merata-rata tempat. Sebahagiannya dicetak berserta nombor dan nama pemain pilihan masing-masing.

Negara maju dan mundur, negara aman dan konflik di benua mana pun semua teruja untuk menunggu pusingan final Piala Dunia ini.

Empat tahun lalu di Jerman, masih meninggalkan banyak nostalgia. Masih segar di ingatan bagaimana Itali, pasukan membosankan dan oportunis menjadi juara setelah menewaskan Perancis melalui sepakan penalti.

Sebulan lagi, sebahagian hidup kita akan diwarnai dengan bahasa bola sepak. Bahasa bola yang dapat dikongsi oleh sesiapa sahaja dari anak kecil sehinggalah usia tua.

Ia bukan sahaja mendorong kebahagiaan dan kegembiraan tetapi juga kekecewaan, kemuraman malah petaka. Hooligan - penyokong buas - yang biasa kita dengar di Eropah, boleh berlaku di mana-mana. Tidak terkecuali di Afrika Selatan.

Tetapi di sebalik semua itu, lihatlah bagaimana cerianya penyokong Chelsea yang bergaya merampas kejuaraan Liga Perdana England dari Manchester United malam kelmarin.

Lihatlah bagaimana setianya penyokong Manchester United dan Liverpool (pasukan paling popular di Malaysia) yang sanggup berjaga malam untuk menonton pasukan mereka beraksi. Sehinggakan di hampir semua restoran mamak dan restoran tomyam ada kemudahan skrin pacak khusus untuk peminat bola.

Begitulah bola sepak yang memberi banyak erti kepada ramai orang. Ia boleh menjadi satu aktiviti sukan, kegilaan, hobi, keseronokan dan kebanggaan, kerjaya, bisnes malah juga taruhan bola sepak.

Taruhan seperti juga di gelanggang kuda, adalah antara keasyikan dalam sukan bola sepak. Industri judi bola sepak di sebahagian negara sudah menjadi budaya.

Industri ini berkembang seiring kemajuan teknologi dan bola sepak itu sendiri. Bagaimana perbezaan waktu pun, ia boleh disaksikan secara langsung.

Taruhan bola sepak bukan lagi dalam bentuk yang biasa dikenal dahulu. Taruhan menerusi anline menjadi industri ini boleh diikuti oleh penduduk di benua mana pun. Lokasi bukan lagi masalah.

Cumanya, sama ada ia dihalalkan oleh undang-undang tempatan atau tidak.

Walaupun sebahagian negara mengharamkan judi bola sepak, tetapi daya pesonanya amat menggoda. Taruhan haram tetap berleluasa dan sukar dikawal.

Orang sengaja melanggar larangan agama dan undang-undang tempatan kerana mengejar imbuhan yang besar. Tetapi selalunya berakhir dengan kehampaan.

Dan di Malaysia, isu pemberian lesen judi Piala Dunia masih menjadi perdebatan. Nampaknya, ramai pihak menentang berbanding yang menyokong. Masing-masing mengemukakan hujah untuk memberi justifikasi pendapat mereka.

Kepada umum, kedatangan Piala Dunia diiringi dengan kebanggaan dan kegembiraan. Jauh sekali untuk berjudi.

Bayangkan betapa murungnya dunia jika tiada bola sepak. Tiada EPL, tiada Serie A Itali, La Liga Sepanyol dan tiada Piala Dunia.

Keasyikannya mengalahkan kehebatan sukan yang pernah kita kenal. Hoki, badminton, tenis dan golf belum mampu menyaingi sihir bola sepak.

Bola sepak boleh membuatkan hari kita lebih indah dan ceria. Dan, itulah yang akan berlaku dalam tempoh sepanjang Piala Dunia ini berlangsung.

Sebab itulah, ia satu peristiwa besar yang begitu dinanti-nantikan. Selamat datang pesta sukan terbesar dunia.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url