Buku - Bimbingan lengkap persiapan solat hajat
Bagi mendapatkan semangat untuk bangun di sepertiga malam menunaikan solat hajat, buku Munajat Malam: Bimbingan Lengkap Ibadah Malam membimbing cara membuat persiapan bermula dengan meningkatkan takwa menguatkan hati sebagai permulaan.
Hujahnya, hati adalah pusat persiapan bagi segala bentuk persiapan jasmani dan oleh itu, Islam mementingkan niat dalam segala hal. Untuk memperoleh kecergasan dan istiqamah menunaikan ibadah malam, harus memberi penekanan tegas dalam hati.
Daripada persiapan hati, berpindah kepada persediaan jasmani untuk qiamullail dan caranya ialah mengelak melakukan perkara maksiat di siang hari supaya syaitan tidak mudah menghasut serta elakkan ketawa berlebihan kerana ketawa mematikan hati.
Bab tiga buku Munajat Malam: Bimbingan Lengkap Ibadah Malam membicarakan tip tidur untuk bangun malam merangkumi kesederhanaan ketika makan malam, makan makanan halal, sucikan badan, hati dan jiwa sebelum tidur, segera tidur selepas isyak dan paksa diri untuk bangun.
Ini diikuti panduan amali ibadah malam hingga fajar menjelaskan solat sunat Iftitah, Tahajud, Witir seterusnya solat Subuh secara terperinci daripada tatacara, bacaan dan doa. Tidak dilupakan saranan bertadarus selepas solat.
Bahagian akhir, dijelaskan kelebihan solat Witir dan Subuh yang pastinya jika dibaca, dihayati, akan mendorong setiap umat Islam bangun menunaikan solat malam demi mendapat ganjaran dijanjikan.
- BERITA HARIAN