China akhiri impian Malaysia Piala Thomas 2010


Harapan jutaan rakyat Malaysia musnah dalam tempoh 124 minit apabila skuad Piala Thomas negara mempamerkan permainan 'tanpa jiwa' untuk tunduk mudah kepada juara bertahan, China 3-0 dalam saingan separuh akhir, malam tadi.

Tiada keajaiban kali ini berbanding ketika Malaysia menewaskan China pada 1992 di Kuala Lumpur dan 2002 di Guangzou apabila Lee Chong Wei dan rakan-rakan tampak gagal menggalas bebanan dan harapan diletakkan kepada mereka untuk menamatkan kemarau 18 tahun tanpa gelaran.

Sorakan hampir 10,000 penonton yang membanjiri Stadium Putra tampak tidak mampu mengangkat semangat pemain negara sebaliknya menjadikan pemain China lebih ‘berjiwa’ dalam permainan mereka apabila satu persatu pemain tuan rumah ditumbangkan juara bertahan itu untuk melangkah ke final bertemu musuh ketat Indonesia, esok.

Kekalahan Malaysia sudah dipastikan sebaik Chong Wei mudah dijinakkan musuh ketatnya Lin Dan 17-21, 8-21 dalam masa 47 minit sebelum gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tumpas 15-21, 10-21 dalam 36 minit kepada Cai Yun-Fu Haifeng.

Sedikit demi sedikit peminat mula meninggalkan tempat duduk masing-masing, menyedari bahawa perseorangan kedua negara, Wong Choong Hann tidak mempunyai peluang menentang Chen Jin dan telahan mereka benar apabila bekas juara remaja dunia dari China itu menang 21-16, 21-7 dalam 41 minit bagi mata kejayaan China.

Hakikatnya, barisan jurulatih negara diterajui Rashid Sidek dan Rexy Mainaky terperangkap dengan corak luar biasa ditunjukkan pemain China yang jelas lebih pantas, bertenang dan bersemangat.
Bagi Chong Wei sendiri kekalahannya kepada Lin Dan, menamatkan rekod tanpa kalahnya kepada pemain China itu dalam enam pertemuan sebelum ini di gelanggang sendiri.

“Saya bermain buruk dan semuanya salah saya sendiri,” kata Chong Wei. “Lin Dan bermain bagus dan saya pula terlalu memikirkan hendak menang hingga menjejaskan permainan saya. Malah saya tidak dapat bergerak dengan baik dan rasakan gelanggang begitu kecil sekali.”

Kien Keat-Boon Heong juga mati akal bertemu Cai Yun-Fu Haifeng, yang jauh lebih pantas dan agresif berbanding mereka berdua.

“Mereka (Cai Yun-Fu Haifeng) lebih baik,” kata Boon Heong. “Kita cuba bermain tetapi mereka sangat pantas dan mengawal gelanggang dengan baik.”

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url