Maxis bakal perkenal khidmat PayPal
Ia merupakan kerjasama pertama seumpama di dunia yang membabitkan pengendali rangkaian mudah alih dan Paypal, penyedia perkhidmatan pembayaran.
Ketua Pegawai Operasinya, Jean-Pascal Van Overbeke berkata, dengan memiliki akaun Maxis-Paypal, pelanggan Maxis boleh membuat pembayaran di seluruh pedagang PayPal di seluruh dunia.
Menurutnya, perkhidmatan itu dijangka beroperasi dua minggu lagi dan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
''Kerjasama ini melengkapkan kedudukan Maxis sebagai pemain bersepadu, yang mana menyediakan pembayaran merentas telefon mudah alih, jalur lebar dan IPTV.
''Kami memperkayakan kehidupan pelanggan kami tanpa sempadan dengan e-perdagangan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden serta Ketua Data dan Perniagaan Baru Maxis, T Kugan berkata, Maxis mengunjurkan 30 peratus pelanggan secara dalam talian untuk melanggan produk terbarunya itu.
Katanya, Malaysia kini mempunyai lebih 16 juta penduduk berinteraksi dalam talian dengan 80 peratus menggunakan teknologi itu untuk melakukan pembelian.
''Bagaimanapun, hanya 30 peratus pelanggan yang betul-betul menggunakan perkhidmatan berkenaan dan golongan ini adalah sasaran Maxis,'' ujarnya.
Naib Presiden PayPal Asia Pasifik, Farhad Irani pula berkata, dengan kerjasama itu membolehkan Paypal meneroka dan memperluaskan pembayaran secara dalam talian.
- UTUSAN