Dr. M kongsi rahsia kekal muda
Itulah petua utama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 85, ketika berkongsi rahsia mengekalkan kesihatan dan kecergasan badan pada Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima hari ini.
Sambil berjenaka bersama peserta persidangan, beliau mengakui suka mengkritik terutamanya terhadap ahli politik lain dengan tanggapan dirinya lebih hebat berbanding mereka.
"Saya tidak pernah hilang minat dalam politik dan saya nikmati setiap saat sebagai Perdana Menteri dan juga apa jua kerja yang saya lakukan sekarang.
"Dengan adanya blog, saya dapat mengekalkan minda yang aktif dengan memberi komen terhadap orang lain (ahli politik) dan ini membuat diri berasa hebat dan gembira. Rasa gembira itu seterusnya mengekalkan keremajaan diri," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut di sini.
Pada majlis sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut melancarkan Kongres Penuaan Sihat Sedunia yang persidangan pertamanya dijangka berlangsung di ibu negara pada Mac 2012.
Turut hadir, Penaung Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), Che Engku Puan Sri Mahirah dan suami, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah; Presiden MHAS, Prof. Madya Nathan Vytialingam dan Pengerusi Persidangan, Prof. Madya Dr. Loong Yik Yee.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menasihatkan pesara di negara ini kekal aktif dalam apa sahaja yang mereka minati seperti dirinya yang 'menikmati' pelantikan sebagai Perdana Menteri pada usia 56 tahun.
"Jangan berhenti 'bekerja' di usia persaraan anda. Lakukan sesuatu yang anda gemar dan minati supaya lahir rasa gembira yang dapat mengekalkan keremajaan dan kesihatan diri.
"Nikmati kerjaya dan hasil kerja anda, teruja menanti hari esok dan kekal gembira dengan kehidupan anda.
"Mereka yang tidak gembira lebih cepat kelihatan tua kerana muka perengus yang kurang senyum dan suka memarahi orang akan lebih cepat kendur berbanding mereka yang kerap senyum gembira," ujarnya.
Tambah beliau, tidak perlu untuk bekerja keras dalam sesuatu yang tidak membawa kegembiraan kepada diri sendiri kerana tindakan itu hanya akan mempercepatkan proses penuaan.
Selain itu, Dr. Mahathir memberitahu, beliau mengelak sukan lasak bagi menjaga kekuatan sendi, mengamalkan pemakanan sederhana serta tidak merokok atau mengambil minuman beralkohol untuk kekal sihat.
"Saya bukan seorang ahli sukan tetapi melakukan senaman berkala. Saya juga percaya bahawa sukan lasak tidak menunjukkan kesan semasa kita muda tetapi gejala kerosakan sendi akan jelas dengan peningkatan usia.
"Saya juga perhatikan rakyat Malaysia kini memberi anak mereka terlalu banyak makan terutamanya makanan segera dan air berkarbonat yang banyak menyumbang kepada masalah obesiti.
"Lebih penting lagi, saya tidak merokok dan tidak mahu membelanjakan wang untuk sesuatu yang tidak sedap di mulut dan merosakkan paru-paru kita," jelasnya.
Beliau menegaskan, semua langkah tersebut menyumbang kepada dirinya kekal cergas, sihat dan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar sehingga kini.
"Usia emas yang sihat bermula dengan apa yang kita lakukan ketika masih muda. Saya berharap semua dapat mencontohi hidup saya dengan menikmati kehidupan seharian dan kerjaya mereka serta melakukan semua perkara dalam hidup secara sederhana dan tidak keterlaluan," katanya.
- UTUSAN