Top Ad 728x90

Fenomena persuratkhabaran global


Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Industri persuratkhabaran di seluruh dunia kini mendepani cabaran yang cukup hebat untuk mengekalkan pengedaran akibat penurunan yang konsisten sejak sepuluh tahun lalu. Dalam masa itu secara purata industri persuratkhabaran kehilangan lebih sepuluh peratus pengedaran berbanding dekad sebelumnya. Ini dikesani apabila bermula kepesatan teknologi maklumat menerusi Internet.

Penyampaian maklumat dalam bentuk konvensional menerusi akhbar disaingi dengan sengit oleh akhbar dalam talian. Bukan itu saja malah pertumbuhan laman-laman sesawang yang memuatkan limpahan maklumat juga turut menyumbang kepada penurunan edaran akhbar.

Kajian menunjukkan sedekad kebelakangan ini merupakan era limpahan maklumat yang datangnya dari pelbagai sumber. Selain Internet radio, televisyen dan sekarang gajet wajib guna iaitu telefon bimbit juga menyediakan khidmat penyampaian berita yang sangat pantas kepada pengguna.

Ini merupakan zaman peralihan daripada sumber maklumat yang sedikit dan terhad kepada satu fenomena di mana bahan maklumat boleh didapati dengan mudah, cepat dan kosnya sangat rendah. Percambahan ini adalah suatu yang baik kepada pengguna kerana mempunyai banyak pilihan.

Bagaimanapun kajian yang dibuat oleh Newspaper Association of America, akhbar tidak mungkin pupus sekalipun wujudnya banyak pilihan untuk khalayak mendapat maklumat. Tetapi keadaan menjadi sengit bagi meneruskan survival sesebuah organisasi akhbar.

Keyakinan ini bertolak daripada sifat fizikal akhbar yang begitu toleran dan mesra pembaca kalau dibandingkan dengan gajet elektronik yang menyediakan maklumat. Ini dibuktikan dengan penolakan jualan novel dalam talian kerana komputer tidak toleran seperti fizikal sebuah novel. Bagaimanapun realiti yang melanda banyak akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) misalnya tetap membimbangkan.

Sejak sedekad lalu penurunan pengedaran akhbar berpengaruh seperti The Washington Post, New York Times, Chicago Tribune dan Los Angeles Times dianggap terburuk dalam masa 40 tahun. Penurunan edaran akhbar juga turut dirasai oleh industri persuratkhabaran di Eropah terutama United Kingdom. Sepuluh akhbar berpengaruh di United Kingdom misalnya mengalami masalah yang sama.

Ironiknya ketika pengedaran akhbar menurun, jumlah pengguna Internet di Eropah bertambah 52 peratus sejak tiga tahun lalu menjadikan 418 juta orang mempunyai akses Internet. Angka ini menyumbang kepada 24 peratus pengguna Internet di seluruh dunia. Di United Kingdom saja dengan populasi 61.1 juta telah mencatatkan peningkatan pengguna Internet sebanyak 203 peratus sejak 2000 menjadikan 46. 7 juta pengguna ketika ini.

Sebagai perbandingan, pengguna Internet di Malaysia mencatatkan peningkatan 3.7 juta pada 2000 kepada 15.8 juta tahun 2008 dan populasi 24.6 juta orang. Edaran akhbar dan majalah mengalami penurunan ketara pada tempoh berkenaan. Jadi, masalah yang dihadapi di negara ini adalah sebahagian daripada permasalahan dalam industri persuratkhabaran global.

Saingan

Disebabkan antara faktor penurunan adalah saingan dengan sumber maklumat dari Internet, ada syarikat akhbar cuba mengalih kaedah dalam industri persuratkhabaran daripada bercetak kepada dalam talian. Bagaimanapun jalan penyelesaian tidak semudah yang dijangka. Salah satunya pendapatan pengiklanan menerusi akhbar dalam talian jauh lebih kecil berbanding akhbar konvensional.

Akhbar Daily Mirror di United Kingdom mempunyai sejarah kecemerlangan dan pengaruh yang hebat. Tetapi akhbar ini tidak terkecuali menerima tempias fenomena global yang melanda industri persuratkhabaran. Daily Mirror pada 2000 mencatatkan pengedaran sebanyak 2.3 juta naskhah tetapi pada 2009 hanya mencatatkan 1.4 juta naskhah saja.

Daily Mirror adalah akhbar pertama di United Kingdom yang mencatatkan pengedaran lebih sejuta naskhah sejak tahun 1911. Sementara akhbar The Sun juga mencatatkan penurunan daripada 3.6 juta naskhah pada 2000 kepada 3.1 juta naskhah pada 2009. Begitu juga dengan akhbar Daily Telegraph yang mencatatkan 1.1 juta naskhah pada 2000 kepada 783,000 tahun 2009.

Kalau dua dekad lalu akhbar antara tiga media selain televisyen dan radio yang menjadi penyampai maklumat kepada khalayak, kini peranan itu kelihatan dikongsikan dengan kelahiran media baru yang tumbuh pada era teknologi komunikasi masa kini. Pemilik akhbar sama ada yang besar atau picisan di seluruh dunia juga terpaksa memikir survival masing-masing untuk berperang merebut pembaca dengan media lain yang mudah diakses dan pantas.

Statistik daripada Audit Bureau of Circulation (ABC) juga menunjukkan 379 akhbar harian di AS mencatatkan penurunan pengedaran purata 10.6 peratus atau 30. 4 juta naskhah dalam masa enam bulan berakhir 30 September tahun 2009. Akhbar harian New York Times mencatatkan penurunan 7.3 peratus, Los Angeles Times (11 peratus), Chicago Tribune (9.7 peratus) dan The Washington Post (9.7 peratus). Penurunan pengedaran turut menjejaskan pendapatan daripada pengiklan. Menurut statistik Newspaper Association of America dalam tempoh yang sama pendapatan iklan turun 16.6 peratus.

Statistik pelawat akhbar dalam talian pula mencatatkan peningkatan daripada 60 juta pelawat sebulan tahun 2007 menjadi 72 juta sebulan tahun 2008. Walaupun pelbagai teori dan formula dikemukakan mengenai keadaan yang sangat membimbangkan ini, semua akhirnya menyimpulkan bahawa kelahiran Internet menjadi satu titik mula cabaran baru akhbar konvensional. Tetapi penurunan edaran akhbar bukanlah satu penanda aras turunnya kadar celik maklumat terutama di negara-negara maju. Sebaliknya kedudukan kadar celik maklumat terus meningkat apabila alaf baru membuka satu lembaran baru dengan lambakan maklumat kepada orang ramai.

Pengaruh

Akhbar tetap ada pengaruh dan kekuatan sekalipun mengalami penurunan. Pengiklan tetap memilih akhbar konvensional selain televisyen. Jumlah pengiklan akhbar dalam talian masih terlalu kecil. Maka akhbar perlu menyakinkan pengiklan bahawa walaupun pembacanya sedikit tetapi kualiti pembacanya tinggi.

Suatu ketika dulu ketika radio kemudian televisyen menjadi media popular kerana kepantasan menyampaikan berita, ada yang meramalkan akhbar akan ditutup kerana semua berita sudah diketahui. Tetapi hingga kini akhbar tetap wujud di AS dan Eropah walaupun ada penurunan. Barangkali kata kuncinya adalah kualiti dan sejauh mana akhbar itu menjadi suara rakyat. Akhbar bukan suara kerajaan kerana yang menghidupkan akhbar adalah rakyat.

Ini adalah fenomena global yang melanda industri persuratkhabaran dunia. Keadaan yang seteruk ini tidak boleh dielakkan malah terpaksa diredah untuk mengembalikan keyakinan khalayak. Salah satu kaedah ialah dengan memberikan penambahbaikan editorial untuk memanjangkan jangka hayat sesebuah akhbar. Akhbar barangkali tidak boleh lagi melaporkan yang disebar menerusi Internet. Sebaliknya mengambil pendekatan selangkah ke depan daripada berita yang dilaporkan itu.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90