Ganti ‘Jalan Lima’ menjadi ‘Jalan Utusan’
Pakar Rujuk di Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Suara Keramat
Utusan suara keramat bangsa
Yang membelah kota desa
Utusan nyalakan semangat merdeka
Tiupkan api cinta manusia
Ranjau dan duri telah dilalui
Tambah yakin diri
Membawa hasrat nusa bangsa
Menyebar fikiran rakyat
Zaman ke zaman
Utusan melangkah maju
Suara bangsa dari seluruh negara
Utusan terus maju
Untuk nusa dan bangsa
Baris-baris puisi di atas adalah seni kata lagu korporat Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Pagi semalam, Khamis 20 Mei, lagu itu dikumandangkan di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena majlis pecah tanah pembinaan bangunan baru yang bakal menjadi ibu pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Melodi lagu itu digubah oleh Seniman Negara Ahmad Nawab, manakala liriknya dicipta oleh mantan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan.
Mesej simbolik dan semangat berkobar yang terkandung dalam seni kata dan irama lagu tersebut kemudian dihuraikan dalam bentuk ucapan oleh Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin. Sebagaimana dapat diduga, ucapan Mohamed Hashim mengimbas kembali sejarah silam Utusan Melayu yang “lahir atas pengorbanan, keringat dan semangat yang ditiup oleh kesedaran , keinsafan dan perjuangan.”
Syarikat Utusan secara rasmi lahir pada 18 Jun 1938 dengan modal berbayar $12,290, diasaskan oleh Allahyarham Yusof Ishak yang kemudian dilantik sebagai Presiden pertama Republik Singapura. Hampir setahun sesudah itu, tepatnya 29 Mei 1939, lahirlah naskhah sulung akhbar Utusan Melayu.
Harian Utusan Melayu dan edisi Ahadnya Utusan Zaman berfungsi bukan sekadar sumber informasi masyarakat Melayu, malah lebih penting lagi memegang peranan sebagai ‘penyambung lidah bangsa Melayu,’ menyemarakkan semangat perjuangan orang Melayu yang ketika itu menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.
Sememangnya apa yang disebut oleh Mohamed Hashim itu adalah satu sentuhan yang amat ringkas tentang jasa Utusan Melayu terhadap kebangkitan bangsa Melayu di bidang politik. Huraian yang lebih mendalam dapat ditelaah dalam buku The Origins of Malay Nationalism, hasil penelitian seorang sarjana Barat yang pernah menjadi profesor sejarah di Columbia University, New York, iaitu Professor William Roff.
Berkait rapat dengan peranan menggelorakan semangat bangsa Melayu di bidang politik itu, Utusan Melayu juga telah berjasa besar dalam perkembangan sastera Melayu moden yang melahirkan tokoh-tokoh sastera tanah air seperti Keris Mas, Usman Awang, Awamil Sarkam, A. Samad Said dan ramai lagi yang lain.
Demikian juga dalam dunia kewartawanan, Utusan Melayu telah melahirkan A. Rahim Kajar, Isahak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin.
Dalam usaha membaiki nasib orang Melayu di bidang pendidikan, Utusan Melayu juga memegang peranan yang sangat penting. Saya teringat di zaman remaja saya bagaimana Utusan Melayu dan Utusan Zaman menjadi wahana yang utama dalam “Gerakan Obor” yang dipelopori Allahyarham Aminuddin Baki untuk menangani masalah keciciran bangsa Melayu di bidang pendidikan.
Kempen (atau gerakan) untuk mendirikan Universiti Kebangsaan yang hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama di awal dekad 1970-an pun amat terhutang budi kepada Utusan Melayu.
Begitu pula di bidang ekonomi, Utusan Melayu (kemudian lahir Utusan Malaysia) adalah wahana atau saluran komunikasi yang paling setia dan dedikasi memasyarakatkan Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah diadakan berkali-kali semenjak pertengahan tahun 1960-an. Hal yang sama dapat disebut mengenai Dasar Ekonomi Baru.
Mereka yang bersifat sinikal mungkin akan menuduh bahawa saya mengulang-ulang cerita lama bila merujuk pelbagai jasa Utusan Melayu terhadap perkembangan bangsa Melayu daripada segi sosial, politik dan kebudayaan. Dan akan lebih biadab lagi jika ada yang tergerak untuk menuduh saya rasis kerana menyebut-nyebut jasa dan sumbangan Utusan Melayu.
Saya sendiri tidak peduli dengan tuduhan-tuduhan sedemikian. Mesej utama saya ialah sebuah organisasi media yang sudah merupakan satu institusi kebangsaan yang begitu banyak jasanya, memanglah amat tepat (malah sudah agak terlewat) untuk Kumpulan Utusan mempunyai bangunan korporat sendiri.
Saya telah lama gusar memerhatikan beberapa keadaan ironikal tentang Utusan Melayu. Adalah sangat ironis, bila sebuah institusi yang telah begitu banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan telah berusia lebih 70 tahun, tetapi sebahagian daripada operasinya masih lagi berpejabat di sebuah bangunan yang disewa dari sebuah parti politik Cina (PGRM).
Dan juga terasa ironis, bila ibu pejabat sebuah akhbar Melayu beralamat di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin. Saya tidak pasti siapakah individu yang bernama Chan Sow Lin itu. Tak mengapalah jika namanya hendak dikekalkan pada jalan besar sebelum membelok ke ‘Jalan Lima’ itu. Tetapi ‘Jalan Lima’ itu sendiri lebih sesuai diubah (ditukar) menjadi ‘Jalan Utusan’ atau ‘Jalan Perjuangan’.
Perubahan atau pertukaran nama yang sedemikian, pada hemat saya sejajar pula dengan pesanan Perdana Menteri dalam ucapannya di majlis pecah tanah itu. Lebih kurang beliau berkata: “Keberanian membuat perubahan, adalah satu syarat untuk mencapai kejayaan dan kegemilangan. Tanpa keberanian membuat perubahan, kegemilangan belum tentu akan menjadi milik kita.”
Semoga “Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin” akan bertukar nama menjadi “Jalan Utusan Melayu” atau setidak-tidaknya “Jalan Utusan”.