Gempa: 165 pelajar Malaysia di Aceh selamat

JAKARTA 9 Mei - Kesemua 165 pelajar Malaysia yang belajar di Institut Agama Islam Negeri selamat dalam kejadian gempa dengan kekuatan 7.2 skala Richter yang melanda Meulaboh, Aceh, Sumatera Utara, tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, ketika kejadian terdapat empat pelajar Malaysia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri sedang mengikuti program Hari Keluarga Fakulti Usuluddin pusat pengajian itu di pantai.

"Pelajar terbabit sedang mengikuti program di Pantai Ujong Batee itu melarikan ke tempat tinggi kerana khuatir berlaku tsunami ekoran gempa tersebut, tetapi mereka semua selamat," kata Junaidy ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu salah seorang pelajar berkenaan, Abdullah Hakimi Zainal Abidin, 21, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mereka baru sahaja selesai makan tengah hari dan ke masjid untuk menunaikan solat.

"Tiba-tiba sahaja kepala saya rasa pening, bumi terasa bergoncang dan diikuti gegaran yang semakin kuat sehingga menyebabkan saya berasa pening seperti hendak muntah," katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdullah Hakimi yang pertama kali mengalami kejadian gempa, para pelajar lain yang sedang mandi di laut juga bertempiaran lari menyelamatkan diri.

"Tidak lama selepas itu siren amaran tsunami dibunyikan dan berikutan itu kami terus mendapatkan motosikal dan melarikan diri ke kawasan tinggi," katanya.

Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66 kilometer barat daya Meulaboh, Aceh pada pukul 12.59 tengah hari, tetapi menarik balik amaran itu kemudiannya.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta diterima ekoran kejadian tersebut.

Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh berkata, suasana ketika itu menjadi kelam-kabut dan jalan menjadi sesak kerana semua orang mahu melarikan diri ke kawasan tinggi.

Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar berusia 24 tahun.

Keadaan di Banda Acheh kembali normal sejak pukul 3 petang ini setelah warganya mendengar berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG yang disiarkan melalui radio tempatan.

Kesemua pelajar Malaysia di institut itu kini ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia cawangan Aceh di Darussalam buat sementara waktu.

Dalam pada itu Junaidy berkata, Jabatan Penuntut Malaysia memantau keadaan para pelajar Malaysia.

Beliau meminta ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat tentang anak-anak mereka di Acheh supaya menghubunginya di talian +6281 80 88 11111.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url