Hukum ibu bapa cuai

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

Akibat terlalu sayangkan anak dan membiarkan mereka bebas melakukan apa sahaja, manusia kadangkala terlupa sehingga mengabaikan soal keselamatan.

Apabila berlaku insiden atau kejadian yang tidak diingini, barulah kita tersedar bahawa kebebasan atau kurang perhatian yang diberikan itu boleh membawa maut.

Justeru, tidak hairanlah kita kini sering didedahkan dengan berita-berita sedih mengenai kematian kanak-kanak atau bayi di rumah. Tidak salah jika dikatakan ia berpunca daripada kecuaian ibu bapa.

Menuduh ibu bapa terbabit cuai bukan tujuan penulis yang mengutarakan isu ini. Sebaliknya, apa yang ingin dikatakan adalah sejauh mana kita peka tentang keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita agar mereka terhindar daripada sebarang malapetaka.

Kita ambil contoh kejadian seorang bayi berusia sembilan bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah rumah di USJ 6 Subang Jaya, Sabtu lalu.

Siapa yang tidak sayangkan anak. Sudah pasti ibu bapanya sungguh menyayangi anak lelaki tunggal mereka. Namun sudah ditakdirkan, bayi itu merangkak di atas katil yang terletak bersebelahan dengan tingkap lalu terjatuh.

Siapa sangka, rumah yang terletak di tingkat tiga itu tidak dipasang jeriji besi.

Difahamkan, unit-unit kediaman yang terletak di situ, khususnya bukan di aras bawah tidak memasang jeriji keselamatan. Bagi mereka, mungkin pencuri sukar untuk memanjat dan memasuki unit kediaman tersebut yang terletak di aras yang tinggi.

Tetapi siapa pula sangka, jeriji besi itu mampu menyelamatkan nyawa bayi malang tersebut sekiranya ia dipasang.

Pihak polis masih menyiasat kes ini yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sekadar ingin bertanya, adakah kejadian ini boleh dianggap sebagai cuai.

Jika ia berpunca daripada kecuaian, adakah mereka yang bertanggungjawab atas kematian bayi itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Kecuaian boleh dilihat daripada pelbagai sudut.

Seperti yang disebut oleh polis sebelum ini, ibu bapa yang membiarkan anaknya yang tidak memiliki lesen menunggang motosikal atau memandu kenderaan, boleh dikenakan tindakan undang-undang atas kecuaian mereka.

Menyebut tentang sikap ibu bapa membiarkan anak memandu tanpa lesen, teringat satu peristiwa yang berlaku dan menggemparkan negara baru-baru ini.

Sehingga kini, tiada tindakan diambil atas kecuaian keluarga terbabit, sebaliknya pasukan keselamatan yang dipersalahkan atas motif politik oleh pihak tertentu, susulan daripada tindakan seorang remaja memandu tanpa lesen (sehingga menemui maut).

Apa yang ingin penulis sebut, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu sayangkan anak-anak mereka secara berlebihan sehingga membiarkan anak-anak membuat apa sahaja tindakan biarpun ia melanggar undang-undang.

Apabila sudah berlaku sesuatu kejadian atau insiden, pihak lain yang dipersalahkan. Menyesal ketika itu sudah tidak berguna kerana insan yang disayangi sudah pergi, tetapi janganlah pihak lain pula yang dipersalahkan.

Sikap prihatin ibu bapa tentang keselamatan anak-anak sebenarnya perlu ada. Bukan setakat perlu ada, sebaliknya mesti disertai dengan pengawasan yang rapi dan sempurna.

Ingatlah, anak-anak merupakan amanah yang diberikan oleh Allah. Terpulang kepada kita untuk mencorakkan masa depannya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url