Isu-Isu Akhbar Cina
MESKIPUN sudah hampir dua minggu berlalu, namun Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Sarawak masih menjadi perdebatan hangat akhbar-akhbar Cina. Seorang peguam, Lee Shu Hua menulis mengenai perkara ini menerusi akhbar Nanyang Siang Pao terbitan 22 Mei lalu.
Penulis ini cuba menjawab persoalan yang sering diajukan selepas pilihan raya itu iaitu apakah sebenarnya yang dimahukan oleh pengundi Cina. MenuruT Shu Hua, sejak 52 tahun negara merdeka, orang Cina hidup dalam persekitaran yang tidak sama rata.
Apabila kerajaan memberi sedikit kelebihan, mereka dipaksa untuk berterima kasih. Menjelang pilihan raya pula, mereka dipaksa mengundi kerajaan, jika tidak akan dianggap sebagai kumpulan lupa daratan dan tidak mahu berterima kasih.
Dendam terpendam ini membuatkan pengundi Cina berasa marah. ‘‘Jika mahu diselidiki, kita perlu bertanya kepada Barisan Nasional sejak bilakah mereka jujur dan ikhlas mendengar kepahitan yang dialami oleh kaum Cina,” tulis Shu Hua.
Seorang penulis, Lee Zang menerusi akhbar China Press terbitan 23 Mei pula menjelaskan, orang Cina bukan sahaja mahu berubah, tetapi perubahan juga terpaksa dilakukan.
Orang-orang Cina tidak mahu menyokong BN kerana masih di takuk lama dan tidak mahu berubah.
Mereka juga tidak mahu cara lama BN berterusan dalam membawa Model Baru Ekonomi kerana ia hanya untuk kepentingan segelintir dan kroni-kroni yang menjadi kaya.
Kebanyakan rakyat di negara tanpa mengira kaum ini amat risaukan masa depan mereka. Bukan sahaja memikirkan mengenai mereka tapi untuk generasi akan datang terutamanya generasi baru kaum Cina.
Apa yang mereka mahukan ialah keadilan, terbuka, bebas dan menjadi negara maju. Ramai yang berpendapat jika mahu melihat negara ini maju, politik tidak boleh dimonopoli oleh sebuah parti.
Jika politik ini masih ditakuk lama, tidak ada masa harapan pada masa depan untuk mereka. Tulis Lee Zang lagi, dahulunya rakyat di negara ini dimonopoli oleh beberapa orang dalam BN menggunakan satu model dari satu kaum untuk memonopoli semua kaum.
Pemikiran dan model lama ini tidak memberi apa-apa kepada masa depan kaum Cina. BN hanya memberi kepada beberapa orang Cina menjadi menteri.
Jika BN menganggap satu hari nanti kaum Cina mendapat jalan ke arah kehidupan yang indah, ia hanyalah satu impian yang kosong. Pemikiran orang-orang Cina di negara ini lebih jauh dari itu.
‘‘Kenapa saya berkata begitu? Kerana generasi akan datang akan bertanya: ‘‘Kenapa kita juga rakyat Malaysia tetapi kita disekat daripada melakukan apa yang orang lain boleh buat? Apa yang boleh kita jawab? Kita akan memberitahu nasib kita telah digadai dan diputuskan oleh beberapa pemimpin yang bersejarah. Bukankah begitu?” tulisnya.
Lee Zang menambah, penduduk kaum Cina di negara ini semakin berkurangan. Jika polisi-polisi kaum di takuk lama itu masih tidak berubah, orang Cina tidak dapat bersaing dan kekal dalam keadaan ‘tiada kuasa’. Maka generasi Cina akan datang juga akan tetap disisihkan.
Tambah Lee Zang, pengundi Cina nampak perkara ini dan kerana itulah mereka sangat memikirkan mengenai politik hari ini. Semua parti seharusnya duduk semeja dan berbincang apa yang sesuai untuk ditolak dan ditambah untuk negara ini.
Jika kaum Cina belum pun lagi bergerak tetapi dikecam tidak layak untuk membuat perubahan, bukankah kita telah menghukum generasi akan datang?
Undi di tangan orang Cina hanyalah bermaksud mereka mahu membuat perubahan demi generasi akan datang.
KPI Kementerian Pelajaran dan SRJKC
Sementara itu, akhbar Sin Chew Jit Poh menyiarkan sebuah artikel sekolah aliran Cina dan kaitannya dengan usaha Kementerian Pelajar mencapai sasaran indeks petunjuk prestasi (KPI).
Artikel bertajuk Masalah SRJKC dan panduan KPI itu ditulis oleh penulis yang menggunakan nama samaran Mai Siang. Menurutnya, imbuhan yang diumumkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru lalu menunjukkan Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh mencapai KPI.
Tetapi orang ramai tidak yakin adakah SRJKC juga dimasukkan dalam skop NKRA itu? Ini kerana selama 50 tahun sekolah aliran Cina, banyak masalah dan penyakit timbul kerana tidak dapat disetarafkan dengan pendidikan negara. Contohnya kekurangan guru yang mana timbul masalah apabila guru bahasa Cina diletakkan ke bahagian bahasa Melayu.
Keadaan ini berlaku kerana pendidikan kita terpisah kepada dua kategori iaitu bantuan penuh dan bantuan separuh.
Mengikut konsep 1Malaysia yang sebenar, NKRA perlu dijalankan di semua jabatan di Kementerian Pelajaran termasuk di bahagian pembangunan SRJKC. Setiap tahun, gariskan keperluan guru-guru, bantuan dan penambahbaikan sekolah serta bilangan sekolah baru.
Masukkan perkara itu ke dalam bajet tahunan kewangan negara. ‘‘Dalam proses perlaksanaan itu, perlu diselaraskan semua bentuk perlaksanaan dengan NKRA. Ambil perhatian serius dan sepenuhnya surat-surat yang dikemukakan oleh Dong Jiao Zong dan cuba buat penambahbaikan dalam semua proses,” tulis Mai Siang.
- UTUSAN