Iktibar terbaik kesan pecah belah di zaman jahiliah

Oleh Muhamad Hazwan Hamidan

Ketika Islam muncul, dunia berada dalam keadaan berpecah-belah. Tiada sebarang ikatan selain ‘assabiyah’ perkauman atau fahaman etnik, puak dan kabilah sempit. Apa yang wujud ketika itu hanya perkauman Arab, Parsi, Tauran dan beberapa kaum lain.

Perkauman pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, Asyuriyin di Iraq dan Lubnan, Firaun di Mesir serta bangsa Barbar di Maghribi.
Keadaan berubah apabila datang seruan Islam. Semua umat manusia diseru meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran bersatu membentuk satu ummah.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiya: 92)

Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit sebaliknya menyeru semua bangsa bersatu menjadi satu ummah bersaudara serta tidak lagi mengenal kelebihan kepada sesuatu bangsa kecuali berdasarkan kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Rasulullah sudah mengambil langkah amali ke arah merealisasikan perpaduan yang menyeluruh antara orang Islam pelbagai kaum dan orang Islam dengan bukan Islam. Langkah bijak Rasulullah dilihat sebaik saja baginda berhijrah ke Madinah.

Baginda menyatupadukan antara Muhajirin (orang yang berhijrah bersama baginda dari Makkah) dengan Ansar (penduduk Kota Madinah). Tindakan Rasulullah menghapuskan fahaman assabiyah perkauman menjadi asas pembinaan sebuah negara Islam, seterusnya sebagai empayar Islam yang unggul dan terbesar.
Sikap taksub kepada kabilah sendiri, asyik bermusuhan dan berperang antara kabilah menyebabkan bangsa Arab sebelum ini lemah serta tidak mempunyai tamadun seperti bangsa lain di sekeliling mereka.

Dengan adanya perpaduan sesama umat Islam, lahir perpaduan serta muafakat dalam membuat kebaikan dan ketaatan kepada pemimpin. Bangsa Arab yang sebelumnya mundur dan jahil, dapat membina empayar Islam meliputi Sepanyol di Barat hingga ke sempadan China di Timur.

Bagi memperkukuhkan lagi negara yang dibina itu, Baginda berusaha membuat persepakatan dan kerjasama dalam hal dibenarkan syarak, antara umat Islam dengan bangsa Yahudi yang tinggal dalam negara itu.

Proses penyatuan dan kerjasama itu dilaksanakan melalui Perlembagaan Madinah dengan cara diplomasi dan bijaksana. Melalui perlembagaan itu, hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan darjat diberi jaminan oleh Rasulullah.

Sebenarnya, umat Islam diharuskan menjalin perhubungan baik dan positif dengan bukan Islam. Perhubungan itu harus dipupuk dengan persefahaman dan kerjasama yang sihat, semoga suasana harmoni serta stabil dapat dicapai untuk meningkatkan lagi pembangunan masyarakat.

Namun demikian, sejarah mengajar supaya sikap berhati-hati tidak dilonggarkan, sehingga persediaan kita untuk bertindak memulihkan kekeruhan dan ketegangan yang berlaku terjejas daya keberkesanannya.

Elemen perpaduan dilaungkan kerajaan selama ini wajib diberi perhatian serius semua pihak. Ia bukan perkara yang hanya boleh direka atau dipermainkan kerana ia adalah syariat Islam.

Realitinya, kebanyakan umat Islam kini masih belum menghayati dan mengamalkan ajaran murni itu. Sebagai bukti, umat Islam kini terlalu taksub kepada parti politik, kaum dan kedudukan pangkat masing-masing, sehingga lupa seruan perpaduan Islam.

Kadang kala, sifat taksub itu menjadi penghalang terlaksananya perpaduan yang diusahakan. Jadi bagaimanakah akan wujudnya sebuah negara Islam yang bersatu, mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama, aman, berintegrasi hidup harmoni dan bekerjasama secara adil?

Sebagai seorang Islam mengaku beriman kepada Allah, tidak seharusnya menjadikan perbezaan fahaman politik dan kedudukan pangkat sebagai punca perpecahan. Agama lebih penting daripada parti politik dan ideologi ciptaan manusia.

Usaha menerapkan nilai perpaduan rakyat Malaysia khususnya, perlu dilakukan melalui saluran yang ada. Pada peringkat sekolah umpamanya, pelajaran Pendidikan Islam perlu menekankan aspek penghayatan elemen perpaduan ummah. Pemikiran seperti ini juga atau yang lebih bersifat sejagat dan kemanusiaan bagi bukan Islam perlu dimasukkan dalam pelajaran Pendidikan Moral.

Di samping itu, kerajaan disaran menubuhkan Kelab Perpaduan di semua sekolah sebagai kegiatan kokurikulum pelajar. Di samping dapat mempereratkan hubungan sesama Islam, kelab ini juga dapat memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.

Selain itu, generasi muda negara ini perlu diberi kefahaman segera mengenai konsep persaudaraan Islam dan perpaduan antara kaum yang menjadi teras kemajuan dan kemakmuran negara.

Remaja kini memandang ringan isu perpaduan, sehingga mereka menganggapnya perkara yang boleh dibuat sesuka hati. Maksudnya ada ketika mereka bersatu dan pada ketika lainnya mereka bermusuh. Sikap sebegini menyebabkan perpaduan tidak bernilai.

Kesimpulannya, kita seharusnya mengembalikan zaman kegemilangan perpaduan ummah seperti dibina Rasulullah sejak 1421 Hijrah. Beberapa langkah bijak yang dilakukan Rasulullah seharusnya dijadikan contoh dan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan makmur.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • aazek
    aazek Isnin, 24 Mei 2010 pada 6:17:00 PG SGT

    artikel yang bagus, yg dapat membantu meningkatkan trafik..syabas..

    www.aazek.blogspot.com

Add Comment
comment url