Kementerian Pengajian Tinggi perjelas isu pelajar dapat 5A gagal ke universiti awam

Kementerian Pengajian Tinggi ingin merujuk rungutan 'Ibu kecewa' dari Bukit Baru, Melaka yang disiarkan ruangan ini 21 Mei lalu bertajuk 'Ibu tunggal kecewa anak dapat 5A gagal ke universiti awam'.

Adalah dimaklumkan bahawa Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP, JPT) kementerian sudah menyemak status permohonan ke Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2010/2011 mengenai anak pengadu, Muhammad Adli Sahhril, nombor kad pengenalan 920607-04-5291 yang dibuat melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA.

Rekod semakan mendapati pelajar ini hanya memohon empat pilihan program daripada lapan program yang ditetapkan. Semua empat pilihan program pengajian yang dimohon mensyaratkan melalui proses temu duga sebelum ditawarkan mengikuti program itu di IPTA. Program yang dipilih meliputi tiga di UiTM dan satu di UTM yang berasaskan seni bina.

Untuk makluman, hanya program pengajian pilihan pertama iaitu Program Sarjana Muda Sains (Seni Bina) E2300 di UiTM yang dipanggil untuk calon terbabit menghadiri temu duga. Namun (ranking) calon dalam senarai calon ditemuduga adalah rendah berdasarkan laporan panel temu duga.

Dimaklumkan proses pemilihan pelajar ke IPTA adalah berasaskan kepada prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Berdasarkan kepada pengiraan, markah merit calon ialah 72.87. Markah potongan (cut off point) bagi program ditemuduga adalah tinggi kerana bilangan tempat yang disediakan bagi program pengajian berkenaan, terhad.

Dikenal pasti calon juga tidak menyatakan persetujuan dalam permohonan kemasukan ke IPTA untuk menerima tawaran selain empat pilihan program pengajian yang dimohon. Justeru, BPKP JPT tidak dapat menawarkan program pengajian lain. Namun, pelajar layak mengemukakan rayuan bagi program pengajian bukan temu duga untuk pertimbangan.

Sehubungan itu, bahagian ini mengesahkan bahawa calon sudah mengemukakan rayuan melalui Aplikasi Dalam Talian (e-rayuan) untuk kemasukan ke IPTA. Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baru ke IPTA.
Semakan keputusan rayuan boleh dilakukan mulai minggu pertama Jun 2010 bagi Fasa 1 dan minggu ketiga Julai 2010 bagi Fasa 2 di laman web rasmi kemasukan ke IPTA http://upu.mohe.gov.my.

BAHAGIAN PENGURUSAN KEMASUKAN PELAJAR,
Jabatan Pengajian Tinggi,
Kementerian Pengajian Tinggi

- FORUM BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url