Perbanyak amal ibadat dengan ingat hari akhirat
Bagi orang Islam, hari akhirat adalah destinasi terakhir. Begitulah kepercayaan yang tersemat dalam hati mereka yang mengakui beriman. Kepercayaan ini penting dalam hidup manusia supaya mereka mempunyai wawasan jelas. Malah al-Quran sering menyebut mengenainya setiap kali soal keimanan terhadap Allah SWT dibangkitkan.
Hari akhirat dalam pengertian mudah ialah hari-hari penghidupan yang terakhir setelah melalui penghidupan di dunia. Dunia ini akan berlaku kehancuran seluruhnya dan segala makhluk yang bernyawa semuanya akan mati.
Selepas itu, Allah akan menggantikannya pula dengan alam baru dan menghidupkan semua manusia itu semula. Kemudian mereka akan dihisab dan dinilai segala amalan sewaktu hidup di dunia.
Sebenarnya kepercayaan seperti ini juga wujud dalam fikiran sebahagian mereka yang bukan beragama Islam. Mereka juga percaya bahawa ada kehidupan bahagia dan sebaliknya setelah mati. Tetapi kepercayaan itu tidak sama dengan yang diyakini umat Islam.
Dalam hal ini, seseorang Muslim wajib percaya bahawa Allah akan membinasakan seluruh alam ini bila tiba saatnya nanti. Kemudian semua manusia termasuk yang bukan beragama Islam akan dibangkitkan semula untuk menerima penghakiman Allah. Masing-masing akan dinilai segala amalannya di dunia sama ada bermutu atau tidak.
Dalam keadaan itu, setiap manusia akan menghadapi pelbagai keadaan dan suasana berdasarkan amalan masing-masing. Allah menggambarkan keadaan hari akhirat itu dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia. Takutilah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya goncangan kiamat itu sungguh dahsyat. Pada hari kamu melihat peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan anak akan lupa anak yang disusuinya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugur anak yang dikandunginya dan kamu akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk tetapi kerana azab Allah amatlah berat dan mengerikan.” (Surah al-Hajj: 1-2).
Gambaran yang cukup menakutkan itu sepatutnya boleh menginsafkan setiap manusia apatah lagi orang Muslim. Sebenarnya, gambaran ini seperti mahu memberi peringatan kepada penghuni bumi agar bersiap sedia menghadapi hari akhirat. Malah hari itu patut menjadi idaman setiap Muslim kerana kehidupan akhirat lebih baik daripada kehidupan dunia.
Oleh sebab itu, setiap Muslim sewajarnya memiliki wawasan akhirat sepanjang hidupnya di dunia ini. Dengan wawasan itu, mereka pasti berjaya meraih keredaan Ilahi pada hari kemudian itu.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang (setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh) dan mereka menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian) bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’la: 14-17).
Jelas daripada ayat di atas, amalan membersihkan diri, mengingati Allah dan melakukan solat adalah tanda keimanan terhadap hari akhirat. Seseorang Muslim yang beriman terhadap hari akhirat perlu membanyakkan amal kebajikan dan tingkatkan ketakwaan. Begitulah persiapan orang yang mempunyai wawasan akhirat.
Sebaliknya, keimanan yang tipis terhadap hari akhirat menyebabkan ramai manusia bergelumang dalam kebatilan, kemaksiatan dan kezaliman. Hal ini demikian adalah kerana mereka tidak menjadikan hari akhirat sebagai matlamat hidup. Mereka seolah-olah tidak yakin akan ada hari pembalasan.
Mereka yang menjadikan wawasan dunia sebagai matlamat utama akan lebih mencintai dunia, tamak, kedekut dan cenderung ke arah kejahatan. Malah ada sebahagian manusia yang sanggup meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya. Tidak kurang juga golongan yang tergamak melakukan kerja haram lagi terkutuk demi meraih kemewahan dunia semata-mata.
Sebenarnya kehidupan di dunia adalah kehidupan yang mesti dilalui manusia. Maka dalam dunia ini, disediakan pelbagai keperluan untuk memudahkan manusia menuju ke akhirat. Namun, kadang-kadang mereka terleka dengan keindahan dunia yang sementara ini. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah mainan dan hiburan serta hiasan luaran yang masing-masing bermegah-megah antara kamu. Masing-masing berlumba-lumba untuk membanyakkan harta benda dan anak pinak. Keadaan ini sama seperti hujan yang dengannya mengagumkan petani kerana tanaman yang subur menghijau, kemudian tanaman itu berubah lalu kelihatan kuning, akhirnya menjadi reput. Sedangkan di akhirat terdapat azab yang berat, keampunan daripada Allah dan keredaan-Nya. Dan tiadalah kehidupan dunia melainkan sesuatu yang menipu daya.” (Surah al-Hadid: 20).
Jelas daripada ayat di atas satu gambaran bahawa kehidupan seseorang yang tidak beriman terhadap hari akhirat leka dengan kenikmatan dunia ini. Kedudukannya sama seperti petani yang kagum melihat tanamannya yang subur pada musim hujan. Dia tidak membuat persiapan untuk menghadapi musim selepasnya, lalu bila ketiadaan hujan musnahlah tanamannya.
Keadaan ini tentu berbeza dengan mereka yang beriman terhadap hari akhirat. Mereka pasti membuat persiapan sepanjang kehidupan di dunia. Peluang bermain, berhibur dan berhias di dunia diguna sepenuhnya untuk menuju akhirat. Sikap mereka ini sudah pasti mendapat keampunan Allah dan keredaan-Nya. Yang pasti, dunia yang dilalui itu tidak menipunya.
- BERITA HARIAN