Khamis, Mei 27, 2010

LHDN menang Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2009

KUALA LUMPUR 26 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2009 malam ini sekali gus diiktiraf sebagai agensi awam yang paling berinovasi.

Dengan pencapaian tersebut, LHDN merangkul hadiah lumayan RM1 juta beserta trofi AIPM yang mempunyai ukiran bunga raya berukuran 400 milimeter (mm) x 130 mm.

Trofi itu melambangkan pengiktirafan terhadap organisasi yang dinamik dan berupaya melakukan inovasi yang mempunyai impak tinggi.

Anugerah tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah di sebuah hotel di sini.

Pemilihan AIPM dibuat melalui proses pencalonan oleh jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan dianggotai oleh 13 ahli.

Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan termasuk penganjur iaitu Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan dan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md. Yusof.

Pemilihan LHDN itu berikutan kejayaannya mencapai empat aspek utama iaitu inovatif; kerana berjaya memaparkan ciri-ciri inovatif tinggi seperti kaedah atau eksperimen pelaksanaan yang benar-benar leading edge, value creation, perubahan organisasi yang menyeluruh atau penggemblengan teknologi yang berkesan.

Kedua, relevan; memaparkan perubahan yang selaras dengan aspek-aspek agenda nasional seperti sumbangan kepada pembentukan ekonomi nilai tinggi, penjimatan kos yang ketara kepada operasi kerajaan, penjanaan hasil kerajaan yang ketara, kerjasama unik dengan rakyat dan usaha pembangunan negara yang berkesan.

Ketiga, signifikan; apabila berjaya memaparkan keberhasilan atau potensi keberhasilan yang signifikan dan impak tinggi sama ada di peringkat tempatan, nasional mahu pun global dan keempat iaitu keberkesanan; dalam memaparkan faedah yang nyata dengan keberhasilan yang mampan serta meliputi masa yang jelas bagi membuktikan keberkesanannya.

Dalam hubungan itu, LHDN telah melalui semua aspek tersebut termasuk perubahan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan cukai, kecekapan dalam pengutipan cukai, mengamalkan budaya kerja positif, penambahbaikan proses kerja dan penggunaan teknologi dalam memacu peningkatan mutu perkhidmatan.

Selain itu, LHDN turut selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pelanggan malah sentiasa proaktif dalam pendekatan yang diambil bagi memastikan kutipan cukai negara menepati sasaran yang ditentukan di samping tidak berkompromi dalam soal kepuasan pelanggan.

Antara pencapaian yang berjaya dilakukan oleh LHDN dalam inovasi yang diperkenalkan ialah penjimatan kos, kecekapan kutipan hasil dan menyokong objektif agenda e-Kerajaan.

Sementara itu, Hasmah dalam ucapannya berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan di atas pengiktirafan yang diberikan.

Katanya, LHDN telah berusaha gigih bagi mencapai inovasi yang terunggul iaitu dengan berhadapan tugas yang mempunyai cabaran besar terutama apabila menerima persepsi negatif daripada masyarakat.

''Dengan pencapaian ini, LHDN berikrar untuk berusaha lebih lagi bagi melaksanakan inovasi yang menjurus kepada transformasi dalam urusan percukaian iaitu bagi memudahkan urusan percukaian kepada masyarakat negara ini," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts