Top Ad 728x90

Rebat tunai ganti subsidi minyak

Rakyat akan memperoleh rebat tunai RM54 untuk setiap motosikal kurang 250cc dan RM126 untuk kereta kurang 1,000cc apabila kerajaan menguatkuasakan penghapusan subsidi minyak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata pemberian rebat tunai itu membabitkan setiap pemilik kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, imbuhan yang membabitkan perbelanjaan RM526 juta setahun itu termasuk dalam prinsip kelapan, iaitu langkah mitigasi dan bantuan jika perlu untuk menangani kesan kewangan menerusi pelan merealisasikan subsidi.

“Kerajaan juga boleh menjimatkan sehingga RM44.9 bilion dalam masa lima tahun jika memperkenalkan mekanisme pengapungan harga minyak.

Jumlah berkenaan bermula RM1.3 juta tahun ini, sebelum meningkat secara berperingkat dan mencecah sehingga RM15.8 juta pada 2014,” katanya.

Idris berkata, kelebihan yang diperoleh rakyat itu bagi mengimbangi peningkatan harga minyak secara berperingkat berikutan langkah penghapusan subsidi.

Katanya, berdasarkan perancangan, harga minyak meningkat 10 sen seliter setiap enam bulan, manakala bagi gas cecair petroleum (LPG) pula 20 peratus setiap tahun, berdasarkan permintaan dan penawaran semasa.

Tarif baru elektrik tak membebankan

Kadar tarif baru elektrik berikutan penghapusan subsidi dijangka tidak memberi kesan terhadap 56 peratus pengguna isi rumah di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata, peratusan itu membabitkan 20 peratus pengguna di kalangan rakyat yang memperoleh bekalan elektrik secara percuma, manakala 30 peratus lagi akan menikmati harga lama.

“Langkah itu menjimatkan perbelanjaan negara sehingga RM35.9 bilion untuk tempoh lima tahun,” katanya.

Penghapusan subsidi elektrik juga akan meningkatkan kadar tarif elektrik sebanyak RM0.016 (kurang dua sen) kilowatt sejam (kWh) setiap enam bulan dan peningkatan RM3 untuk harga gas bagi setiap juta metrik unit termal British (MMBtu).

Penggunaan kadar elektrik tinggi banyak membabitkan penduduk kawasan bandar.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90