SPRM papar maklumat lengkap pesalah rasuah
Setakat semalam, 108 maklumat lengkap kes dan individu yang didapati bersalah dipaparkan dalam laman web berkenaan yang dihubungkan terus melalui Pangkalan Data Pesalah Rasuah SPRM, manakala gambar mereka akan dipaparkan bersama maklumat berkenaan menjelang bulan depan.
Ia termasuk maklumat kes rasuah berprofil tinggi membabitkan Exco kerajaan negeri, pemimpin politik dan ahli akademik. Antara maklumat yang dipaparkan dalam pangkalan data itu adalah bacaan pertuduhan, hukuman yang dikenakan, pekerjaan pesalah dan tempat pesalah rasuah bekerja.
Pengarah Bahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisyam Nordin, maklumat dipaparkan tiga tahun saja bagi memberi peluang kepada pesalah insaf terhadap kesalahan yang dilakukan.
“Ia bukan untuk menjatuhkan maruah pesalah. seba liknya sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai akibat jika mereka mengamalkan rasuah.
Keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pegawai tertinggi agensi penguatkuasa kerajaan yang terbabit dalam NKRA Rasuah dan mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara.
“Sebelum ini, SPRM hanya memaparkan nama dan nombor kad pengenalan pesalah, tetapi kali ini kita memuatkan hampir semua maklumat mengenai pesalah untuk `menggerunkan’ orang ramai akibat yang bakal diterima jika terbabit dalam kesalahan rasuah. Kita mensasarkan memuatkan gambar pesalah menjelang Jun bagi menambahkan kesan psikologi terhadap orang awam agar tidak lagi mengamalkan rasuah,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Hisyam berkata, pihaknya berharap langkah itu dapat meningkatkan integriti rakyat Malaysia sama ada di kalangan pegawai kerajaan, swasta dan orang awam seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain bagi memerangi rasuah.
Sementara itu, beliau berkata, 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2012.
“Semua mahkamah berkenaan akan disiapkan secara berperingkat mengikut negeri yang ditetapkan dan kita berharap penubuhan mahkamah ini dapat mempercepatkan perbicaraan kes rasuah dalam masa setahun,” katanya.
- BERITA HARIAN