Top Ad 728x90

, , , ,

Skil Berunding Perdana Menteri

Oleh SYAHRIL A. KADIR
www.syahrilkadir.wordpress.com

Masih ingatkah kita bagaimana huru-haranya Barisan Nasional (BN) Perak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari BN, Nasaruddin Hashim meninggalkan UMNO buat seketika untuk menyertai PKR.

Ramai ketika itu menganggap ia merupakan tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN kerana jarang sangat ADUN BN (kecuali Sabah) lompat parti apatah lagi dalam keadaan politik yang sukar seperti di Perak tempoh hari.

Namun siapa sangka, dengan menggunakan 'auranya', Najib bukan saja berjaya menyakinkan Nasaruddin untuk kembali semula ke pangkuan BN, bahkan dua wakil rakyat PKR iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) turut bertindak keluar parti tersebut.

Langkah kedua-duanya mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas itu kemudiannya turut diikuti oleh Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP.

Tindakan tersebut telah menyebabkan kedua-dua pihak iaitu BN dan pakatan pembangkang (DAP-PKR-Pas) mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama banyak, 28. Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

Bagaimanapun, kelebihan menyebelahi BN apabila wakil-wakil rakyat Bebas terbabit menyatakan sokongan padu kepada parti itu.

Mengambil kira keadaan yang berlaku, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar melepaskan jawatannya dan memperkenankan Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Selepas itu, masih ingatkah kita bagaimana syarikat minuman ringan terkenal Coca-Cola membuat pelaburan besar berjumlah AS$285 juta (RM1 bilion) di Malaysia baru-baru ini?

Pelaburan itu membuatkan negara ini menjadi pusat kepada pengeluaran dan pengagihan produk Coca-Cola di rantau Asean, sekali gus menjanjikan peluang pekerjaan baru kepada 800 rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Namun tak ramai yang tahu rahsia di sebalik kejayaan Malaysia menarik pelaburan Coca-Cola tersebut.

Saya difahamkan, segalanya bermula apabila Najib memulakan rundingan dengan syarikat berkenaan tahun lalu sewaktu beliau melawat Singapura. Dalam lawatan itu, beliau telah berunding dengan eksekutif kanan Coca-Cola mengenai kemungkinan kilang itu dibangunkan dan ditubuhkan di Malaysia menerusi sokongan dan insentif yang diberikan.

Hasilnya, dalam tempoh empat bulan selepas itu, pembinaan kilang itu telah menjadi kenyataan!

Begitu juga dua hari sebelum beliau merasmikan majlis pecah tanah pejabat baru Utusan Melayu minggu lalu. Saya difahamkan yang Perdana Menteri sebelum itu telah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Western Digital, Datuk John F. Coyne.

Dalam rundingannya dengan Coyne, Najib berjaya menyakinkan Coyne untuk syarikat tersebut melabur sebanyak RM1.2 bilion.

Untuk permulaan, dalam masa setahun ini sahaja iaitu dari Jun hingga Jun akan datang, Western Digital akan membelanjakan sebanyak AS$250 juta (RM822 juta) di negara ini.

Ia melibatkan 10,000 pekerjaan tambahan termasuk 100 lulusan doktor falsafah (Ph. D) dan 1,000 lulusan lepasan ijazah.

Ini secara tidak langsung menjadi faktor lonjakan Malaysia daripada kedudukan ke-18 tahun lalu ke tempat ke-10 di kalangan negara paling berdaya saing di dunia mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010.

Ini belum termasuk rundingan Najib dengan para pemimpin Qatar yang menyaksikan Lembaga Pelaburan Qatar (QIA) bersetuju untuk melabur AS$5 bilion (RM16 bilion) di Malaysia melibatkan sektor hartanah, tenaga dan perkhidmatan.

Yang terbaru, kita lihat bagaimana kehebatan Najib berunding dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hingga membolehkan banyak masalah dua hala yang 'tergantung' sebelum ini selesai dengan jayanya.

Rasanya tak perlulah saya huraikan lebih lanjut kejayaan itu kerana ia heboh diperkatakan dalam media massa sehari dua ini Apa yang ingin saya nyatakan di sini, sebagai Perdana Menteri yang boleh dikatakan baru mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Najib telah menunjukkan kecemerlangan yang luar biasa terutama daripada aspek perundingan, yang secara jujur bagi saya, adalah 'forte' beliau.

Skil atau kemahiran berunding bukanlah senang untuk dimiliki seseorang, universiti terhebat dan terulung di dunia pun belum tentu mempunyai modul terbaik untuk subjek tersebut.

Dalam hal ini, saya teringat kata-kata pakar motivasi, Ainon Mohd. Katanya, kemahiran berunding adalah kemahiran yang wajib dimiliki oleh setiap orang.

Ada kajian psikologi yang mendapati individu-individu yang berjaya adalah mereka yang memiliki kemahiran berunding yang tinggi.

Individu yang tidak mahir berunding cenderung mengalami banyak konflik dan berseteru dengan orang-orang di sekeliling mereka, manakala mereka yang mahir berunding cenderung mempunyai lebih banyak sahabat dan penyokong.

Sekolah tidak mengajar kita kemahiran berunding dengan tujuan sama-sama mencipta hasil perundingan yang memuaskan hati semua pihak, sebaliknya sekolah mengajar kita kemahiran bersaing dengan mengalahkan orang-orang lain. Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang mempunyai kemahiran berunding. Alhamdulillah, kita juga nampaknya tidak ketandusan pemimpin yang mahir dalam hal ini. Najib telah membuktikannya!

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90