Sime Darby juara Liga FAM 2010


SIME DARBY FC meraikan kejayaan menjulang trofi Liga FAM 2010 dengan penuh bergaya setelah mudah membelasah Tambun Tulang 6-1 pada perlawanan terakhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria itu mengumpul keseluruhan 36 mata hasil 11 menang, tiga seri dan tanpa kalah untuk menempah slot ke Liga Perdana musim depan sambil diiringi SDM Kepala Batas yang menduduki tempat kedua setelah membelasah MBJB 7-0.

Biarpun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Syamsuri Othman pada minit ke-17, Sime Darby FC bangkit membalas enam gol hasil jaringan Mohd. Faiz Isa (24 dan 59), Mohizam Shah Dawood Shah (29), Mohd. Farkhis Fisol (70 dan 71) dan Wan Hafiz Harun (83).

Pengurus pasukan Sime Darby FC, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Abdul Aziz Shah berkata, kejayaan itu telah menambah semangat kelab tersebut yang mempunyai perancangan jangka panjang untuk membantu pembangunan bola sepak negara.

"Tahun ini kita kesuntukan masa dan tenaga kerja untuk tujuan itu. Tapi bermula tahun depan kita akan lebih menjurus kepada pembangunan pemain-pemain muda.

"Bola sepak merupakan pembangunan. Mungkin dalam lima tahun lagi kita akan membekalkan pemain dari produk kami sendiri.

"Apa pun kami gembira kerana sasaran kita untuk muncul juara Liga FAM dan layak ke Liga Perdana akhirnya tercapai," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Trofi Liga FAM telah disampaikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh kepada kapten Sime Darby FC, Mohd. Nor Ismail yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url