Hari Gawai Tiba Lagi
SERIAN: Aroma tuak menusuk hidung, menyelubungi udara di sekitar rumah panjang masyarakat Dayak di Sarawak. Inilah tandanya bahawa masa yang ditunggu-tunggu sudah sekian lama hampir tiba.
Setelah sekian lama membanting tulang menuai hasil tanaman, kini masanya untuk meraikan penat lelah yang dicurah selama ini, sebagai tanda syukur atas hasil tuaian yang menjadi dan masa untuk merancang semula musim tanaman seterusnya.
Pada 1 Jun ini, akan disambutlah perayaan Hari Gawai. Justeru salah satu upacara penting untuk meraikannya ialah dengan meminum tuak sepuas hati.
Maka bagaimana sedapnya tuak ini banyak pula bergantung kepada bagaimana kepandaian cara membuatnya.
Dibuat dengan menggunakan beras, gula dan ragi yang ditapai sekian lama, kerja membuat tuak ini selalunya didominasi oleh kaum wanita yang perlu mematuhi dengan setia segala adat dan pantang larangnya sebelum dapat menghasilkan tuak yang terbaik.
Salah seorang yang pakar membuatnya ialah Simai Linggi, 47, dari Kampung Lebor, Jalan Gedong, kira-kira 75 km daripada Kuching yang telah membuat tuak dan mematuhi segala pantang larangnya sejak 20 tahun lalu.
Ini bermakna beliau membuat tuak sejak umurnya dalam lingkungan 20-an lagi.
Suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak ini dengan penuh bangga akan memberitahu anda bahawa beliau mewarisi resepi dari ibu dan neneknya untuk membuat tuak, tetapi agak keberatan untuk mendedahkan ramuannya kepada anda.
"Buat tuak mula awal, kadang-kadang dua bulan sebelum perayaan. Memeram tuak perkara pertama yang kita buat sebab untuk dapat tuak yang baik ambil masa untuk jadi," katanya kepada Bernama.
Antara pantang semasa membuat tuak ialah wanita datang bulan tidak boleh membuatnya, katanya.
"Tuak tidak akan menjadi," jelas beliau.
Simai berkata satu lagi pantang ialah tidak boleh memeram tuak dalam tempayan yang pernah digunakan untuk menyimpan garam atau barang makanan bergaram, bagi mengelak tuak daripada menjadi masam.
"Mereka yang buat tuak juga tidak boleh ambil makanan dan minuman masam," jelasnya.
Perayaan Gawai bermula petang 31 Mei dengan upacara "membuat persembahan" di rumah panjang atau pusat kemasyarakatan sekiranya di kampung.
Upacara ini dilakukan oleh ketua perayaan bagi menandakan rasa syukur kepada Tuhan atas hasil tuaian yang menjadi di samping meminta petunjuk, berkat dan umur panjang sambil beliau mengorbankan seekor ayam jantan.
"Menjelang tengah malam, ai pengayu (tuak untuk umur panjang) dikeluarkan dengan setiap orang sama-sama mengucapkan selamat. Ini diikuti dengan makan-makan dan minum, menyanyi dan menari sampai esok pagi," kata Simai.
Penghuni rumah panjang tidak tidur semasa Gawai. Di sebelah pagi, mereka yag masih dapat bertahan "ngabang" (berkunjung) pula ke rumah sahabat handai dan kaum keluarga.
Selepas dirayakan selama dua minggu, perayaan gawai akan berakhir dengan "Ngiling Tikai" atau menggulung tikar perayaan.
Maka masyarakat Dayak pun meneruskanlah kehidupan mereka seperti biasa sehinggalah datang pula Hari Gawai pada tahun depan.
Itulah maknanya sambutan Hari Gawai di mana masyarakat Dayak akan mempamerkan segala kekayaan kebudayaan warisan mereka sementara kaum lain boleh mempelajarinya.
- BERNAMA