Landasan berkembar elektrik operasi bulan depan
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata projek itu adalah tambahan kepada laluan antara Pelabuhan Klang-Sentul sedia akan yang akan memberikan manfaat kepada kira-kira 10,000 pengguna setiap hari dengan 98 perkhidmatan ulang alik.
Katanya, projek pembangunan dengan kos kira-kira RM520 juta itu meliputi pembinaan laluan sepanjang 7.5 kilometer dengan lima jejambat jalan raya, empat jejantas motosikal dan pejalan kaki.
Beliau berkata, projek itu turut membabitkan pembinaan empat stesen merangkumi Stesen Taman Wahyu, Batu Kentonmen, Kampung Batu dan Batu Caves.
“Laluan ini juga dijangka menyumbang terhadap pembangunan industri pelancongan kerana lokasi Stesen Batu Caves terletak bersebelahan Kompleks Kuil Batu Caves yang menjadi lokasi sambutan Thaipusam setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Sentul di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruzzaman Mohd Noor dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan.
Ketika ini tambang yang dikenakan kepada pengguna laluan Pelabuhan Klang-Sentul adalah RM4.80 dan tambahan laluan terus dari Sentul ke Batu Caves dikenakan RM1.
Kong berkata, dengan siapnya laluan tambahan itu nanti, ia akan dapat membantu meningkatkan tahap penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang selaras dengan sasaran ditetapkan kerajaan iaitu 16 peratus ketika ini kepada 25 peratus menjelang 2012.
Katanya, kekerapan perkhidmatan untuk laluan itu juga akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan, terutama ketika waktu puncak dan ketika sambutan perayaan Thaipusam.
“Kemudahan sedia ada di empat stesen baru laluan itu juga dipertingkatkan, termasuk menyediakan kawasan letak kereta lebih luas, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), kafeteria serta sistem jualan tiket automatik,” katanya.
KTMB juga dijangka dapat menambah pendapatannya sebanyak RM7 juta dalam tempoh setahun selepas laluan itu dibuka kepada umum pertengahan bulan depan.
- BERITA HARIAN