Malaysia kekal daya saing

Oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Malaysia berada di kedudukan daya saing yang amat memberangsangkan pada tahun 2010. Dalam kalangan 58 ekonomi, Malaysia berada di kedudukan ke-10 berbanding dengan kedudukan ke-19 pada tahun sebelumnya. Penarafan ini dikeluarkan oleh agensi penarafan antarabangsa Institute for Management Development (IMD) dalam laporan terkini World Competitiveness Yearbook 2010 (WCY). Pencapaian terbaik ini disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang telah menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing.

Kedudukan Malaysia menjadikan negara lebih berdaya saing berbanding dengan beberapa negara maju lain seperti Denmark (kedudukan ke-13), Belanda (kedudukan ke- 12), Luxembourg (kedudukan ke-11), United Kingdom (kedudukan ke-22) dan Korea (kedudukan ke-23).

Sejak tahun 1989, Malaysia merupakan satu-satunya negara membangun yang tersenarai dalam 10 negara paling berdaya saing dalam kajian yang dilakukan oleh pihak IMD. Daya saing negara diukur berdasarkan empat faktor iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur. Kriteria yang digunakan untuk penarafan kedudukan sesebuah negara berdasarkan kepada 1/3 data berbentuk persepsi, sementara 2/3 lagi berdasarkan analisis kuantitatif. Negara mencatatkan prestasi yang amat memberangsangkan dari segi Kecekapan Kerajaan, berada di kedudukan ke-9 berbanding dengan kedudukan ke-19 pada tahun sebelumnya.

Kecekapan Perniagaan meningkat ke kedudukan keempat berbanding dengan kedudukan ke-13 pada 2009. Sementara bagi Prestasi Ekonomi dan Infrastruktur, masing-masing meningkat sebanyak satu anak tangga kepada kedudukan kelapan dan ke-25.

Pada suku keempat 2009, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus mengatasi jangkaan awal 3.2 peratus. Pertumbuhan itu didorong oleh dasar fiskal dan kewangan kerajaan yang telah merangsang kenaikan dalam permintaan domestik. Dengan kedudukan asas-asas ekonomi yang kukuh serta dasar-dasar pembangunan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan, ekonomi terus berkembang pada suku pertama 2010 di mana KDNK berkembang 10.1 peratus dan eksport meningkat sebanyak 30.7 peratus. Contohnya bagi Mac 2010 sahaja, eksport negara telah meningkat sebanyak 36.4 peratus. Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi dijangka dapat mempercepatkan lagi transformasi ekonomi Malaysia. Dengan langkah-langkah melalui Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan mensasarkan negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus pada 2010.

Sementara itu, perbelanjaan persendirian juga telah mencatatkan peningkatan. Sehingga Mac 2010, jumlah jualan automotif meningkat 56,139 unit berbanding dengan 44,896 unit untuk jangka masa sama tahun sebelumnya atau kenaikan 25 peratus. Iklim pelaburan yang memberangsangkan telah menarik pelabur luar untuk melabur di negara ini.

Pelaburan paling terkini adalah dari syarikat Coca-Cola yang melabur sebanyak RM1 bilion bagi kilang pembotolan dan syarikat Sun Bear Solar Ltd. pula sebanyak RM5.2 bilion dalam pembuatan kaca suria. Sementara itu, syarikat Western Digital dan Qatar Investment Authority masing-masing mengumumkan pelaburan sebanyak RM3.9 bilion dan RM16.4 bilion baru-baru ini.

Inisiatif-inisiatif Penambahbaikan

Kerajaan akan terus menjalankan usaha-usaha penambahbaikan untuk meningkatkan iklim perniagaan. Di antara langkah-langkah penambahbaikan itu termasuklah penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang bertujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan tersusun. Usaha berterusan yang dijalankan oleh kerajaan secara inovatif seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) turut meningkatkan prestasi faktor kecekapan kerajaan.

Menerusi usaha ini, waktu yang diambil bagi memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada tiga hari bekerja berbanding dengan 11 hari bekerja sebelumnya. Pada masa akan datang, kerajaan mensasarkan satu hari bekerja untuk pendaftaran permulaan perniagaan.

Langkah-langkah seterusnya dalam menambah baik iklim perniagaan akan terus dijalankan melalui bidang keberhasilan utama negara yang telah menunjukkan kejayaan dalam perkara-perkara berikut:

# Jenayah jalanan berkurangan sebanyak 32 peratus pada suku pertama 2010.

# Bilangan keluarga miskin tegar yang berdaftar dengan sistem e-Kasih berkurang kepada 32,271 berbanding dengan 44,643 sebelumnya.

# Isu rasuah menunjukkan kedudukan yang lebih baik iaitu di tangga ke-26 berbanding dengan kedudukan ke-31 pada tahun sebelumnya.

# Birokrasi dalam aktiviti perniagaan telah berkurangan yang mana kedudukan negara telah meningkat ke tangga keempat daripada kedudukan ke-16 pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan PEMUDAH mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik bagi mengekalkan daya saing negara.

Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM 2009) yang diadakan pada 27 Mei 2010 yang merupakan anugerah pertama kali diperkenalkan pada tahun ini bagi memberi pengiktirafan kepada hasil inovasi yang diperkenalkan oleh agensi dan jabatan kerajaan bertujuan menyemarakkan budaya kreatif serta inovatif kakitangan kerajaan. Penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam melalui anugerah AIPM ini membuktikan sokongan mereka turut menyumbang bagi membolehkan Malaysia berada pada tahap 10 negara paling berdaya saing ketika ini.

Cabaran Masa Depan

Walaupun negara berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia, kita tidak seharusnya berpuas hati dan perlu sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kedudukan kerana negara-negara lain juga mengambil tindakan untuk memperbaiki prestasi dan kedudukan masing-masing. Adalah penting untuk kita terus mengorak langkah dengan usaha-usaha yang lebih inovatif untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Sehubungan itu, kita mesti menyahut dan mengatasi cabaran- cabaran berikut:

# Meningkatkan sistem pencapaian perkhidmatan dalam urusan perniagaan secara berterusan;

# Mengukuhkan ekonomi melalui pelaburan berkualiti tinggi;

# Mempersiapkan industri kecil dan sederhana untuk bersaing dalam menghadapi persaingan global;

# Menjadikan pembelajaran sepanjang hayat dan melatih tenaga kerja mahir;

# Mempertingkatkan produktiviti dan daya saing menerusi budaya inovatif dan kreatif.

Kedudukan prestasi daya saing negara yang baik akan menjadikan Malaysia satu destinasi pelaburan dan perniagaan yang menarik. Secara tidak langsung, ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat serta membuka peluang-peluang perniagaan sokongan kepada usahawan-usahawan tempatan terutama usahawan kecil dan sederhana.

Justeru itu, kerajaan akan terus berusaha melaksanakan usaha-usaha peningkatan daya saing agar manfaatnya dapat dinikmati bersama oleh semua rakyat.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url