Mufti mahu media baru mendidik masyarakat melalui tulisan beretika

Media baru terutama blog mesti sama-sama memainkan peranan mendidik masyarakat melalui tulisan beretika dan positif seperti media arus perdana.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata media online juga mesti menyiarkan berita yang benar, memberi pendidikan dan nasihat kepada pembaca.

“Keruntuhan akhlak tidak boleh diselesaikan begitu saja tetapi media boleh memainkan peranan mendidik masyarakat.

“Pengamal media terutama media baru mesti beretika dengan menggunakan media itu secara bijaksana untuk mendidik dan menyiarkan berita baik sebagai tunjuk ajar,” katanya selepas Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2010 bertajuk 'Restorasi Media Dalam Memartabatkan Ummah' sempena Ulang Tahun Ke-82 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Ipoh, semalam.

Harussani berkata, walaupun terdapat banyak laman web media online berunsur negatif, sekatan ter-hadap media baru membawa kesan besar.

“Media baru adalah satu bentuk kemajuan dan kita harus menggunakan media ini untuk kemajuan manusia, bukan meruntuhkan manusia,” katanya.

Harussani yang juga Pengerusi muzakarah terbabit berkata, resolusi daripada perbincangan ulama dan cerdik pandai itu akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja tidak lama lagi.

Katanya, resolusi berkenaan diharap menjadi agenda dalam Persidangan Raja-Raja dan kemudian disampaikan kepada pemerintah untuk tindakan lebih berkesan.

“Resolusi akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), menteri dan semua Menteri Besar tetapi hal agama ketuanya ialah Raja.

“Tidak sempurna kalau kita tidak hantar kepada Majlis Raja-Raja supaya baginda mendapat mesej yang dikehendaki rakyat,” katanya.

Media bagaimanapun tidak diberikan butiran resolusi muzakarah berkenaan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url