Panduan kesihatan ketika melancong

Tahukah anda bahawa kita sebenarnya dikelilingi oleh pelbagai virus dan berisiko tinggi terdedah kepada penyakit berjangkit?

Lazimnya penyakit-penyakit berjangkit ini tersebar melalui udara dan selalunya ia dibawa oleh pelancong-pelancong yang gemar mengembara dari satu negara ke negara lain.

Untuk itu, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan semasa mengembara, GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK) dengan kerjasama Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), baru-baru ini telah melancarkan laman web Fit2Fly.

Laman web tersebut menekankan pentingnya para pelancong mengambil langkah berjaga-jaga mengenai penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan.

Menurut Naib Presiden dan Pengarah Urusan GSK Malaysia, Singapura dan Brunei, Francis Del-Val, laman web tersebut lanjutan kepada kempen pendidikan dan kesedaran Fit-to-Fly yang dilancarkan pada September 2009.

Ia secara tidak langsung memberikan pelancong ruang tambahan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesihatan kembara bagi perjalanan yang lebih sihat dan tanpa sebarang gangguan.

''Kami tahu bahawa Internet adalah satu medium rujukan pertama bagi pengguna.

''Menyedari kecenderungan inilah dan bersesuaian dengan masanya, kami telah melancarkan laman web Fit2Fly bagi mengintegrasi dan menyebarkan semua bahan kempen Fit-to-Fly,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran laman web tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi pelancong-pelancong yang gemar mengembara, mereka perlu sedar akan potensi bahaya di negara-negara yang mereka lawati dan belajar untuk meminimakan risiko mendapat penyakit-penyakit itu.

Untuk itu, laman web Fit2Fly berfungsi sebagai portal pusat mengenai penyakit-penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan. Ia turut menggalakkan pelancong tampil berbincang dengan doktor mengenai kesihatan masing-masing sebelum melancong.

Hasil kajian baru-baru ini yang membabitkan lebih 34,000 pelancong antarabangsa yang telah mendapatkan perkhidmatan perubatan untuk penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan, mendapati hanya 50 peratus orang dewasa dan 49 peratus kanak-kanak yang telah mendapatkan penjagaan perubatan sebelum melancong.

Sementara itu, menurut Presiden MSIDC, Prof. Datin Dr. Hamimah Hassan, hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang perjalanan.

''Ibu bapa perlu berbincang mengenai rancangan pengembaraan mereka dengan pakar doktor kanak-kanak terlebih dahulu untuk memastikan bahawa mereka benar-benar mendapat perlindungan yang diperlukan.

''Berbanding dengan orang dewasa, kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan hospital iaitu 14 peratus berbanding 10 peratus di kalangan orang dewasa kerana kanak-kanak menghadapi risiko yang lebih tinggi dalam dehaidrasi akibat cirit-birit,'' ujarnya.

Jelas beliau, pelalian adalah 99 peratus berkesan untuk mengelakkan pelbagai jenis penyakit dan ia adalah langkah yang penting untuk mencegah sebarang penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan.

Katanya lagi, jika memilih untuk tidak mendapatkan pelalian, anda bukan sahaja menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit asing tetapi juga mungkin mendatangkan perbelanjaan rawatan yang tidak perlu terutama sekali jika penyakit itu boleh dielakkan terlebih dahulu.

Ciri utama di laman web baru dan interaktif ini ialah penggunaan menu lebar ke bawah untuk perkara-perkara utama mengenai kesihatan pengembaraan dan gambaran yang berkaitan dengan penyakit-penyakit pengembaraan yang lazim tetapi boleh dicegah seperti Hipetitis A, Hipetitis B, demam kepialu, influenza dan meningitis meningokokus.

Kempen Fit-to-Fly juga akan membabitkan masyarakat awam menerusi program-program komuniti dan bahan-bahan maklumat melalui kerjasama dengan ejen-ejen pelancongan dan insuran serta ceramah di syarikat-syarikat multinasional.

Pada masa sama, MSIDC dan GSK berhajat untuk mengembangkan rangkaian mereka dengan mendapatkan sokongan daripada pakar-pakar perubatan bagi kempen Fit-to-Fly.

Jadi bagi mereka yang ingin melancong dan mengembara, apa kata layari www.fit2fly.com.my untuk maklumat lanjut.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url