Pejabat swasta berhawa dingin zon larangan merokok
Semua tempat kerja dengan sistem pendingin hawa berpusat akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penguatkuasaan menyeluruh itu membabitkan semua tempat kerja sektor swasta berbanding hanya sektor kerajaan sebelum ini, menjadikan kawasan larangan merokok di negara ini sebanyak 21 tempat.
“Dengan peraturan baru ini, kita dapat melindungi pekerja swasta yang tidak merokok dan bekerja lapan jam sehari, malah ada yang bekerja lebih masa selama 12 jam daripada asap rokok serta risiko menghidap penyakit kronik termasuk kanser,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.
Liow berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 11,980 notis kesalahan dan 6,616 kompaun dikeluarkan penguat kuasa kementerian dengan jumlah kompaun kira-kira RM1.4 juta kerana kesalahan merokok di kawasan larangan.
“Sebanyak 4,451 kes pelanggaran sudah dibawa ke mahkamah membabitkan nilai denda berjumlah RM147,000 dan seorang dipenjarakan,” katanya.
Sementara itu, berhubung larangan penjualan rokok 14 batang bermula 1 Januari tahun depan, Liow berkata, kementerian sememangnya mahu mempercepatkan penguatkuasaan itu namun terpaksa menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu termasuk penjualan rokok haram yang kini meningkat kepada 40 peratus.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rasmi mengenai gambar beramaran baru yang akan diletakkan pada kotak rokok memandangkan maklum balas diterima melalui laman sosial Twitter mendapati, 80 peratus mengatakan gambar sedia ada tidak lagi memberi kesan.
Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata, jumlah perokok wanita di negara ini adalah pada tahap 1.6 peratus berbanding 20 peratus yang direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, justeru golongan itu dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan promosi yang dilakukan syarikat rokok termasuk merokok boleh melangsingkan badan dan melambangkan gaya hidup bebas.
- BERITA HARIAN