Peranan niat dalam kontrak muamalat

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Niat adalah elemen paling penting dalam segala aktiviti dan perbuatan yang dilakukan. Sesuatu amalan itu tidak dikira sebagai ibadah melainkan jika niatnya adalah kerana Allah SWT.

Yang dimaksudkan dengan niat adalah tujuan dan matlamat hati yang menjadi pendorong melakukan sesuatu amalan. Kepentingan niat jelas dibuktikan dengan banyak ayat suci al-Quran dan hadis nabi SAW yang membicarakan secara khusus tentang niat.

Daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya. (riwayat al-Bukhari).

Bahkan, salah satu dari kaedah fiqh utama yang terkenal adalah al-umuru bimaqasidiha yang bermaksud segala amalan itu dikira dengan niat dan hasrat yang terselindung di hati.

Justeru, niat tidak memerlukan lafaz atau perbuatan. Niat adalah lintasan hati yang hanya berada dalam pengetahuan Allah SWT dan individu tersebut. Niat juga dapat membezakan antara jenis-jenis amalan yang ada.

Sebagai contoh, niat membezakan antara solat zuhur dan solat asar, solat subuh dan solat sunat yang lain.

Di samping itu, niat juga turut mempunyai peranan dalam bab munakahat (nikah-kahwin).

Sebagai contoh, seorang suami berkata kepada isterinya, "awak sudah tiada hubungan dengan saya" atau "awak keluar dari rumah ini selama-lamanya" atau seumpamanya.

Lafaz-lafaz seumpama ini dianggap sebagai lafaz kinayah (kiasan). Justeru, ia sangat bergantung kepada niat. Jika niat adalah untuk menceraikan isterinya, maka terjatuhlah talak. Begitu juga jika seorang lelaki berkahwin dengan niat tidak mahu menyerahkan mahar kepada isterinya, maka kebanyakan ulama menyatakan ia terbatal.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menikahi seorang wanita dengan mahar tertentu, sedangkan ia berniat untuk tidak menyerahkan mahar tersebut kepadanya, maka ia adalah penzina". (riwayat al Bazzar dan al-Baihaqi)

Daripada Abu Hurairah rahimahullah berkata: "Nabi SAW menganggap pembeli (orang yang berhutang) dan lelaki yang menikah bila keduanya berniat untuk tidak menunaikan kewajipannya bagaikan orang yang berzina dan mencuri, sehingga dosanya sama besarnya dengan dosa penzina dan pencuri". (rujuk Al Fatawa Al Kubra 6/59).

Ibnu Taimiyyah r.h berkata: "Sesungguhnya niat dan keyakinan sentiasa diperhitungkan dalam setiap perbuatan dan tradisi, sebagaimana keduanya sentiasa diperhitungkan dalam setiap amal ibadah.

"Niatlah yang menjadikan suatu perkara halal atau haram, sah atau rosak/ batal, atau sah dari satu sisi dan batal dari sisi lain. Sebagaimana niat dalam amalan ibadah menjadikannya wajib, atau sunah atau haram atau sah atau rosak/batal". (rujuk Al-Fatawa Al-Kubra 6/54)

Sebagaimana niat memberi kesan dalam ibadah dan munakahat, ia juga turut berperanan dalam muamalat dan perniagaan.

Jelaslah, niat turut mempunyai peranan yang signifikan dan kesannya cukup besar kepada kontrak-kontrak yang ada dalam muamalat Islam.

Persoalannya adakah niat menjadi salah satu rukun kontrak atau ia berada di luar kontrak? Apakah ia menjadi penentu kepada kesahihan kontrak yang dimeterai bersama? Atau cukup sekadar dengan lafaz dan tulisan sahaja?

Persoalan inilah yang menjadi pokok kepada perselisihan pandangan para ulama kontemporari tentang produk-produk yang ada di pasaran kewangan Islam dalam dan luar negara.

Sebagai contoh, ulama berbeza pandangan tentang hukum mengenai Bai' Inah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url