14,786 carum Skim Persaraan 1Malaysia

Seramai 14,786 individu mencarum di bawah Skim Persaraan 1Malaysia melibatkan jumlah caruman RM13.2 juta sejak diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah itu permulaan yang sangat baik dan dijangka bertambah khususnya melibatkan golongan suri rumah.

"Terdapat dua faktor jumlah pencarum skim ini akan bertambah kerana masyarakat khususnya suri rumah mengetahui ia langkah bijak mempunyai simpanan persaraan dan kedua, mereka mampu untuk menyimpan pada bila-bila masa daripada serendah RM50 sebulan.

"Dengan usaha lebih giat bagi meningkatkan kesedaran mengenai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia kita menjangkakan jumlah pencarum skim ini bertambah dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Azlan, skim ini diperkenalkan bagi memberi peluang kepada golongan yang bekerja sendiri dan suri rumah untuk merancang masa depan mereka.

"Skim ini diperkenalkan oleh kerajaan khusus untuk memberi perlindungan kewangan kepada individu yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap.

"Skim ini tidak disyaratkan menyimpan secara bulanan sebaliknya boleh menyimpan apabila mereka mampu, ia berbeza dengan Skim Simpanan KWSP yang wajib bagi pekerja," katanya.

Tambahnya, kelebihan skim ini selain memperoleh dividen tahunan daripada KWSP, pencarum akan mendapat sumbangan lima peratus daripada kerajaan, tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun bagi tempoh lima tahun bermula dari 2010 hingga 2014.

Justeru, katanya, skim ini semakin mendapat perhatian golongan pemandu teksi, nelayan, karyawan dan kini KWSP menyasarkan suri rumah untuk turut menyertainya.

Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini boleh mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperolehi di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat turun dari laman www.kwsp.gov.my

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url