Agihan komputer riba secara berperingkat

Program pengagihan komputer riba (netbook) di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI) akan dilaksanakan secara berfasa bermula Julai hingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata ia akan membabitkan koordinasi dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, syarikat industri kecil dan sederhana serta penyedia perkhidmatan.

"Bagi mempraktikkan penggunaan netbook itu, kementerian mengenal pasti mereka yang layak yang tinggal berhampiran 246 Pusat Komuniti Jalur Lebar (PJK) di seluruh negara.
"Dijangka melalui usaha ini, sasaran kerajaan bagi meningkatkan penembusan jalur lebar isi rumah kepada 50 peratus menjelang akhir 2010 akan dapat dicapai," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rizuan Abdul Hamid yang ingin tahu langkah kerajaan untuk menjayakan inisiatif jalur lebar dari segi pembekalan komputer riba dan sasaran penerimanya.

Salang berkata, pengagihan komputer riba kepada kumpulan sasar berdasarkan nisbah dengan 65 peratus daripada jumlah komputer riba akan diagihkan kepada pelajar yang kurang mampu.

"Sasaran yang ditetapkan adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan RM5,000 bagi kawasan bandar dengan keutamaan diberi kepada pelajar sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan yang masih tiada komputer dan langganan jalur lebar di rumah," katanya.
Baki 35 peratus pula akan diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan kurang liputan serta kawasan yang sudah tersedia perkhidmatan, dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan masih tiada pemilikan komputer dan langganan jalur lebar di rumah. Ia meliputi kampung tradisi, kampung baru dan pusat penempatan masyarakat setempat.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url