66 peratus firma pengangkutan awam abai keselamatan

Sebanyak 66 peratus daripada 492 syarikat pengangkutan awam yang diaudit Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) tidak mencapai tahap keselamatan minimum memuaskan.

Ketua Pengarah DOSH, Datuk Johari Basri, berkata audit dilaksanakan pihaknya mendapati 327 syarikat terbabit hanya mencapai tahap gred D dan E iaitu tidak mencapai tahap keselamatan memuaskan.

Katanya, syarikat pengangkutan awam itu tidak mencapai tahap minimum bagi aspek keselamatan dan kesihatan seperti ditetapkan menerusi Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan Bagi 2010.
Beliau berkata, menerusi garis panduan yang baru diperkenalkan, antara perkara perlu dilaksanakan adalah menyediakan satu program khas keselamatan, memantau keselamatan pekerja dan penyelenggaraan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 156 notis larangan serta pembaikan dikeluarkan kepada syarikat pengangkutan awam terbabit bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap keselamatan.

“Ada syarikat yang mematuhi dengan meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja. Namun, ada syarikat gagal mematuhinya dan kami sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar tata amalan industri keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pemanduan berhemah sektor pengangkutan awam bagi zon Utara 2010.
Johari berkata, sebanyak 165 syarikat pengangkutan awam atau 33 peratus berjaya mencapai tahap gred A, B dan C yang menunjukkan mereka mengamalkan tahap keselamatan memuaskan atau sekurang-kurangnya tahap minimum.

Katanya, pihaknya akan terus melaksanakan audit seumpama itu untuk mengesan tahap keselamatan diamalkan syarikat pengangkutan awam di negara ini, demi keselamatan orang ramai serta pekerja lebih terjamin.

“Audit ini tidak hanya kepada syarikat pengangkutan awam, tetapi kepada syarikat sektor lain juga yang mana aspek keselamatan cukup penting dalam menjalankan operasi,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url