Budaya kerja Officekami

Arus perubahan teknologi maklumat telah mempengaruhi cara manusia berkomunikasi, bersosial dan juga budaya bekerja.

Aplikasi e-mel misalnya, secara perlahan-lahan telah menggantikan penghantaran surat, tidak kira surat rasmi ataupun tidak rasmi.

Jika dahulu, aktiviti sosial bermain dam sambil minum petang bersama teman menjadi sesuatu yang lumrah, kini permainan online di laman rangkaian sosial menjadi penggantinya.

Begitu juga dengan cara bekerja hari ini yang secara tidak langsung dipengaruhi oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sungguhpun konsep bekerja di pejabat masih lagi diamalkan secara meluas di negara kita, terdapat sesetengah syarikat multinasional yang telah lama mempraktikkan konsep bekerja dari rumah.

Konsep ini membolehkan kakitangan tertentu melaksanakan tugas mereka sama seperti di pejabat, dengan akses kepada storan perkongsian atau shared drives, Intranet dan sumber lain menggunakan rangkaian persendirian maya atau VPN.

Beberapa agensi kerajaan juga telah mula mengambil inisiatif yang sama bagi memberikan fleksibiliti kepada kakitangan mereka.

Malah, kini terdapat ramai orang yang melakukan tugasan mereka dari kawasan umum, contohnya seperti di kedai kopi dan perpustakaan.

Menyedari bertambahnya bilangan mereka yang bekerja seperti ini, sebuah projek komuniti yang diberi nama Officekami telah dilancarkan oleh Ikhwan Nazri dari Weddingkami (http://weddingkami.com).

Ia diilhamkan hasil daripada budaya syarikat pekerja-pekerja syarikat yang rata-ratanya melakukan tugasan mereka dari luar pejabat.

Oleh kerana mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam menjalankan tanggungjawab mereka, telah wujud kepentingan untuk mengetahui keperluan asas bagi kakitangannya.

Antaranya adalah seperti capaian WiFi, soket bekalan elektrik, tandas dan lain-lain lagi.

Projek Officekami menyenaraikan lokasi-lokasi yang sesuai dijadikan 'pejabat singgahan', bukan sahaja untuk kakitangan syarikat Weddingkami, tetapi juga dikongsi bersama umum.

Sesiapa sahaja boleh menyumbang maklumat berkenaan dengan lokasi-lokasi pejabat singgahan mereka ke blog projek komuniti ini.

Mereka yang aktif berkongsi senarai lokasi mereka ke blog ini kebanyakannya adalah mereka yang bertugas di dalam sektor ICT antaranya ialah Fiona Jitab (http://me.zestful.org), Victor Liew (victorliew.com), Iwani Khalid (bitter-coffee.com) dan Shamsul Jafni (friendlyrabbit.com) dan ramai lagi.

Mana-mana tempat yang mempunyai soket elektrik, akses WiFi dan difikirkan kondusif untuk dijadikan pejabat singgahan, layak untuk disenaraikan di dalam http://blog.officekami.com.

Pengaturcaraan aplikasi bergerak Officekami telah dibantu oleh Nazrul Kamaruddin dari Redboot Solutions (redboot.net).

Sungguhpun baru berusia setahun, Officekami telah berjaya menyenaraikan 120 lokasi dari seluruh Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang dan beberapa tempat di Perak, Melaka dan Pahang.

Selain di dalam negara, terdapat juga lokasi di luar negara seperti di Pakistan, hasil sumbangan umum. Terdapat juga reviu tentang aplikasi yang sering digunakan oleh kakitangan Weddingkami sebagai rujukan bagi membantu pekerja syarikat lain mengadaptasi konsep ini di dalam urusan seharian mereka.

Sebagai langkah memberikan kesedaran umum tentang wujudnya budaya kerja ini, Officekami telah berjaya mengadakan acara Co-Working atau kerja bersama-sama yang mendapat tajaan San Fransisco Coffee bertempat di Menara UOA, Bangsar pada bulan Mac lalu.

Dianjurkan bersempena dengan kempen Earth Hour, acara ini telah memperlihatkan penyertaan beberapa pekerja sektor ICT dan aktivis Social Media terkenal, Carolyn Chan (thechannelc.com).

Trend Co-Working merujuk kepada pekerja daripada syarikat yang berlainan berkongsi ruang dan melakukan tugas masing-masing sudah popular di luar negara, khususnya di negara maju.

Meskipun ia masih janggal di negara kita, trend ini hakikatnya memberikan banyak kesan positif antaranya menghilangkan rasa bosan para pekerja dengan memberikan suasana kerja di luar pejabat, selain membantu menjimatkan kos syarikat-syarikat kecil dalam menyewa pejabat.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url