Fatwa perlu dinilai berdasarkan hujah, ilmu

Oleh Mohammad Nizam Abdul Kadir

FATWA mempunyai kepentingan yang mendalam dalam masyarakat Muslim. Jika sesuatu fatwa yang menghalalkan atau mengharamkan sesuatu, maka fatwa itu akan diberi perhatian yang besar. Lebih besar lagi perhatian masyarakat apabila sesuatu fatwa mengharamkan sesuatu perkara yang sudah diterima baik dalam masyarakat.

Secara mudah difahami, fatwa ialah jawapan terhadap persoalan yang dijawab oleh mufti. Apabila mufti adalah seorang mufti yang rasmi dilantik, maka fatwanya juga adalah fatwa rasmi.

Ada sedikit kekeliruan dalam masyarakat dalam masalah kuasa fatwa. Apabila fatwa dikeluarkan, namun tidak dikuatkuasakan, maka masyarakat akan memperlekehkan fatwa itu.

Dalam kes hukum merokok, nampaknya ada fatwa sudah mengharamkannya namun terlalu ramai warga masyarakat yang merokok. Maka fatwa pengharaman sekadar fatwa yang ‘tidak bertaring.’

Maka hendaklah difahami bahawa fatwa tidaklah mempunyai kuasa undang-undang. Fatwa hanya sekadar jawapan menerangkan hukum agama berdasarkan kefahaman dan ijtihad mufti dan jawatankuasa fatwa. Adapun penguatkuasaan dan kepatuhan terhadap fatwa, ia memerlukan peruntukan undang-undang yang lain. Justeru, fatwa berbeza dengan al-Qadha atau keputusan hakim di mahkamah. Keputusan hakim di mahkamah mestilah dipatuhi dan dikuatkuasakan. Namun dari satu aspek, fatwa dikira sebagai hukum syarak yang meliputi seluruh masyarakat, manakala keputusan hakim hanya dalam kes khusus.

Terbaru, masyarakat menjadi keliru mengenai ESQ sama ada harus atau haram. Ada dua pandangan yang berbeza. Keharusannya kerana tiada aspek yang menyeleweng dan juga faedahnya kepada masyarakat. Namun pengharamannya kerana dikatakan menyeleweng dalam aspek akidah. Mana satu yang benar?
Tulisan ini tidak ingin membicarakan persoalan manakah fatwa yang benar, namun artikel ini ingin mengajak masyarakat agar tenang dan membuat keputusan bijak. Keputusan bijaknya ialah agar kita menilai sesuatu fatwa berdasarkan hujah dan fakta ilmu.

Antara tindakan dan langkah yang wajar ialah:

# Fatwa hari ini bukanlah sekadar menghukum ia harus, makruh, haram dan sebagainya. Namun di sana perlu wujud dalil dan hujah. Dengan dalil dan hujah, barulah sesuatu fatwa mempunyai nilai ilmu dan berkualiti. Oleh itu, masyarakat perlu didedahkan terhadap dalil, hujah dan sebab mengapa fatwa hukumnya begitu dan begini.

# Fatwa pengharaman sepatutnya diberi perhatian yang wajar. Apakah sebab pengharamannya? Dikatakan wujud unsur yang menyeleweng. Antaranya ialah pegangan kepada fahaman liberalisme. Fahaman ini memahami nas al-Quran dan hadis secara bebas. Wujud juga fahaman pluralisme di mana fahaman ini menjelaskan bahawa semua agama adalah sama saja. Kaedah kod 19 juga digunakan di mana kod 19 ini adalah jelas bertentangan dengan dasar Islam. Selain itu, kalimah syahadah pula ditafsirkan dengan makna ‘triple one.’ Ia membawa kepada akidah trinity, iaitu akidah ketuhanan dalam agama Kristian. Disebutkan juga bahawa program motivasi ini mengingkari mukjizat sedangkan mukjizat adalah sabit dengan nas syarak.

Maka jika jelas bahawa memang wujud fahaman sebegini dalam program motivasi itu, maka fatwa pengharamannya adalah jelas dan wajar.

Antara fatwa yang mengharuskan dan mengharamkan, pihak yang terbabit wajar duduk untuk berbincang. Hakikatnya kesilapan dalam fatwa boleh berlaku.
Ada kemungkinan fatwa yang mengharuskan terlepas pandang aspek-aspek yang disebutkan dalam fatwa yang mengharamkannya. Mungkin jika dilihat kesan kepada peserta yang menangis, insaf dan bertaubat, maka secara zahirnya ia dihukum sebagai harus.

Mungkin juga berlaku kesilapan fatwa dalam pengharamannya. Mungkin aspek-aspek pengharamannya seperti liberalisme dan sebagainya tidak menjadi dasar motivasi, hanya sekadar perbandingan.

Bagaimanapun, masyarakat Muslim tidak seharusnya kelam-kabut dengan fatwa ini. Fatwa bersifat memberitahu hukum syarak. Ada yang bertanya kepada saya mengenai amal ibadat mereka selepas mereka mengikuti program motivasi ini, adakah akidah mereka rosak dan menyeleweng?

Saya katakan bahawa fatwa adalah ijtihad. Sikap kita hendaklah diperbetulkan. Pihak jawatankuasa fatwa sudah cuba melaksanakan tanggungjawab yang menjadi amanah di bahu mereka. Ada mufti yang dijemput hadir dan hadir sendiri bagi menilai program itu. Natijahnya ia adalah harus. Ada mufti yang membuat kajian berdasarkan buku dan program. Natijahnya adalah sesat dan menyeleweng. Maka perbezaan hukum fatwa adalah satu lumrah.

Fatwa dalam masalah ini bukanlah sesuatu yang pasti putus dengan ‘qatii at-thubut’ dan ‘qatii ad-dilalat.’ Tugas kini adalah bagi mengenal pasti sama ada memang pasti wujud atau tidak aspek-aspek yang disebutkan dalam fatwa pengharamannya. Jika pasti wujud, sudah tentu ulama akan mudah bersepakat bahawa ia adalah sesat dan menyeleweng. Jika tidak wujud, maka hukumnya adalah harus.

Dalam satu catatan sunnah, A’di ibn Hatim menemui Nabi Muhammad SAW yang ketika itu membaca firman Allah mafhumnya :

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”. – (Surah at-Taubah : 31)

Mendengar ayat itu, A’di berkata bahawa mereka tidak menyembah pendeta dan rahib mereka. Maka Nabi menjelaskan maksudnya dengan bersabda : “Bahkan. Mereka (kalangan pendeta dan rahib) mengharamkan ke atas mereka (masyarakat) sesuatu yang halal, dan mereka menghalalkan ke atas mereka sesuatu yang haram lalu mereka mengikutinya maka itulah ibadat mereka kepada rahib dan paderi”.

Sikap yang tenang adalah anugerah daripada Ilahi, namun sikap yang tergesa-gesa adalah daripada syaitan. Sikap bijak menilai sesuatu fatwa amatlah penting.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url