Pelaburan Emas - Lebih mahal disimpan lama


Disebalik bangunan tiga tingkat yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya sebenarnya tersimpan ragam kesibukan aktiviti jual beli emas.

Menariknya, situasi itu bukannya menyaksikan jual beli barang kemas seperti gelang tangan, rantai atau anting-anting.

Sebaliknya, mereka menjalankan proses mendapatkan kepingan kilauan emas tulen berharga.

Bagaimanapun, premis yang terletak di tingkat tiga itu tidak sewenang-wenangnya dikunjungi. Anda perlu membuat temu janji khas dengan kaki tangan Public Gold supaya pagar besi utama akan dibuka.

"Sebagai langkah keselamatan, tempat kami mempunyai pengawasan yang ketat. Mereka yang ingin mendapatkan kepingan emas perlu berhadapan dengan tiga rintangan pagar besi yang dibuka secara automatik.

"Di Public Gold, mereka boleh melihat skrin paparan harga emas dunia sebagai petunjuk untuk membeli atau menjual," terang Eksekutif Pemasaran Public Fine Gold International Sdn. Bhd., Wilson Tan.

Bercerita mengenai kehebatan emas, masyarakat masa kini mula membuka minda untuk membuat pelaburan baru. Tidak lagi memfokuskan kepada penyimpanan wang semata-mata, trend pembelian kepingan emas kian popular dan mendapat sambutan.

Bahkan segelintir bakal pengantin turut memilih dinar emas sebagai hantaran mas kahwin kerana barangan berharga itu merupakan komoditi yang mempunyai nilai yang tinggi.

Meskipun tertanam beribu-ribu tahun, emas tetap berkilau dan merupakan aset paling bernilai. Emas boleh dibeli sama ada dalam bentuk syiling atau keping dari bank-bank perdagangan.

Selain itu, perbezaan yang dinilai di antara pelaburan ketulan emas dan barang kemas ialah dari segi tawaran peratusan.

"Emas keping dan emas syiling lebih tinggi nilainya iaitu 999.9 peratus berbanding emas yang telah dilebur untuk dijadikan barang kemas pula 91.6 peratus," beritahunya.

Sementara itu, Pengedar Utama Public Gold, Syukor Hashim menjelaskan, Public Gold yang mendapat kelulusan dari Bank Negara menawarkan perkhidmatan jual beli emas 999.9 atau 24 karat untuk pelaburan yang selamat dan murah.

Dari segi kiraan nilai pula, Public Gold menawarkan empat produk kepingan emas 20 gram (g), 50 g, 100 g dan satu kilogram (kg).

"Harga yang dinyatakan setiap gram adalah dalam ringgit. Harganya juga sentiasa berubah-ubah, jadi mereka yang berminat lazimnya akan sentiasa memantau harga dunia.

"Orang ramai diberi kebebasan untuk membeli seberapa banyak ketulan emas bergantung kepada kemampuan masing-masing," terangnya.

Menceritakan pengalamannya menjalankan jual beli emas sepenuh masa, Syukor mendapat pendedahan awal menerusi program The Truth Revealed: Dinar and Dirham The Real True Money sejak dua tahun lalu.

Konsep kekayaan

Bermula dari situ, dia mula mengerti mengenai konsep wang dan kekayaan sebenar. Syukur banyak membuat kajian melalui pembacaan dan rujukan.

"Saya menyedari bahawa kekayaan yang sebenar bukanlah terletak pada wang kertas. Tetapi emas, perak, hartanah, ternakan dan tanam-tanaman.

"Wang kertas boleh dimanipulasikan dan boleh dicetak sebanyak mungkin sekali gus nilainya akan hilang," terangnya bersungguh-sungguh.

Bagi salah seorang kakitangan swasta, Ahmad Fithrie Ahmad Tajalie, 31, pelaburan pertama yang dikeluarkannya tahun lalu sejumlah RM38,000 untuk memiliki beberapa ketulan emas peribadi.

Disebabkan emas mempunyai nilai tinggi, dia lebih berminat untuk menambah koleksi ketulan emas untuk simpanan masa hadapan.

"Kepuasan memiliki dan menyentuh sendiri ketulan emas memang tidak dapat digambarkan. Itu yang membuatkan saya lebih berminat untuk mengumpulnya.

"Petuanya ialah bila sudah beli emas, simpan sahaja emas itu tetapi bila memerlukan dana kewangan barulah ia dijual. Lebih bagus jika ia dijual ketika harganya tinggi. Semakin lama emas itu disimpan, harganya juga semakin mahal," jelasnya.

Seperti yang diperuntukkan oleh hukum syarak, mas kahwin merupakan pemberian wajib daripada seorang lelaki kepada bakal isterinya. Ia boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan kemampuan pasangan terbabit.

Lazimannya mas kahwin disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin atau gelang tangan. Namun, kini syiling dinar emas telah mendapat sambutan menggalakkan sebagai mas kahwin untuk majlis perkahwinan.

Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerima persetujuan menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh.

Mas kahwin

Dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah dan cetakan ayat suci al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia berasaskan agama.

Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun lalu, Wan Azmir Wan Mohamad dan Nadiah Abd. Rahman turut menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin mereka.

Masing-masing yang berusia 27 tahun menyifatkan, keputusan untuk menggunakan dinar emas kerana ingin mengembalikan tradisi masyarakat Islam yang sekian lama ditinggalkan.

"Pengetahuan penggunaan dinar emas ini dibuat setelah saya membuat sedikit rujukan pembacaan mengenainya. Dari situ saya dapati dinar emas mempunyai nilai yang semakin meningkat.

"Malah bentuknya yang cukup unik dan dinar emas juga cantik untuk disimpan. Berbeza dengan wang simpanan wang, ia mungkin tidak akan kekal lama," jelas Wan Azmir Wan Mohamad yang menyempurnakan mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) bernilai RM502 (kini bernilai RM570 tertakluk pada harga semasa).

Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid berkata, dinar emas digunakan sebagai alat pertukaran mata wang paling selamat sekiranya berlaku ketidakstabilan politik dan pasaran. Dinar emas mempunyai nilai yang tetap dan boleh dijadikan simpanan tanpa memikirkan kehilangan nilai dan kuasa beli seperti wang kertas.

Pelaksanaan secara konkrit dengan susulan cadangan yang lebih serius perlu dijalankan supaya negara dapat menggunakan dinar emas dengan lebih menyeluruh.

"Skop penggunaan dinar emas sebenarnya amat luas kerana ada yang gemar menjadikan dinar emas sebagai koleksi aset yang kalis inflasi. Dinar emas berbentuk syiling juga sebagai medium pertukaran yang sah. Tetapi sejauh manakah masyarakat kita berminat menggunakannya seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url