Internet akses mudah ke kancah maksiat

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Internet teknologi yang banyak memberi kebaikan kepada manusia. Dengan satu klik saja kita boleh mendapatkan pelbagai maklumat daripada sumber dikehendaki, melakukan pembayaran bil serta berhubung dengan sesiapa saja di merata dunia.

Namun tanpa disedari, kecanggihan teknologi maklumat juga boleh mendatangkan kesan buruk. Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merekodkan sejak Jun lalu, lebih 25 kes penipuan membabitkan kenalan internet. Selain itu, ada sindiket menggunakan jaringan internet menipu mangsa sehingga membabitkan mangsa rugi beratus ribu ringgit.
Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang gadis menamakan dirinya ‘Nurul Gersang’ dikesan menggunakan Facebook menawarkan diri menjadi teman tidur sebagai helah menjerat mangsa.

Dikatakan gadis berusia 20-an itu memuatkan nombor telefon dalam laman sosial terbabit serta mempamerkan gambar seksi bagi menawan mangsa.

Selain wujudnya laman web yang menipu ramai mangsa di internet, kebanjiran laman web lucah boleh diakses menggunakan komputer dan telefon mudah alih. Fenomena ini mencetuskan rasa cemas banyak pihak kerana ia boleh merosakkan akhlak generasi muda negara.

Kesan daripada penyebaran laman web tidak terkawal ini menjadi penyumbang kepada jenayah seks yang semakin menjadi-jadi sekarang. Perilaku seksual tidak bermoral juga menjadi kelaziman remaja sekarang.
Sehubungan itu, ada pihak mencadangkan kerajaan mencari jalan menapis laman web lucah berkenaan. Jika perkara ini tidak dibendung, golongan muda di negara ini akan terus terjebak dalam gejala sosial lebih teruk pada masa depan.

Golongan remaja tonggak serta aset kepada negara. Runtuh remaja, runtuhlah negara. Remaja bakal mewarisi kepemimpinan akan datang. Kita tidak mahu melahirkan remaja yang mempunyai naluri seks terlampau kesan daripada terdedah kepada bahan pornografi di internet.

Keseronokan menonton bahan lucah mendorong individu menjadi gila seks selain perlakuan ini bakal mengundang perlakuan seks bebas. Kesan daripada seks bebas ini akan mendorong kepada perlakuan isu membuang bayi tidak berdosa.

Membincangkan kes buang bayi tidak dapat lari daripada isu anak luar nikah dan persoalan zina yang makin berleluasa kebelakangan ini. Justeru, untuk membendung permasalahan ini daripada berleluasa, jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina harus ditutup serapat-rapatnya.

Ini termasuk mengakses kepada bahan pornografi di internet. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra: 32)

Kesan zina bukan saja kepada individu yang melakukan perbuatan itu, malah masyarakat turut terkena tempias dari segi keturunan selain menyebabkan berlaku jenayah membunuh bayi tanpa belas kasihan.

Tindakan proaktif perlu diambil semua pihak bagi membendung gejala ini hingga ke akar umbi. Usaha membendung perlu dilakukan pada peringkat awal dan salah satunya adalah dengan mendesak kerajaan membentuk suatu jawatankuasa khas menyekat secara terus bahan pornografi daripada memasuki rangkaian internet di negara ini.

Langkah itu nampak sukar dilakukan tetapi sesuatu perlu dilaksanakan supaya bahan lucah dapat ditapis kerana kita tidak mahu pemikiran rakyat negara ini dirosakkan oleh penyebaran perkara yang mendedahkan mereka terhadap gejala tidak sihat.

Perlakuan mengenai kesalahan zina di negara ini agak terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia, maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Seksyen 23, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 dan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan itu menyebut: “Mana-mana lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum bagi mana-mana kombinasi hukuman itu.

Peruntukan itu juga menyebut, seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifat dalam tempoh kurang daripada enam bulan qamariah daripada tarikh pernikahannya atau hamil luar nikah akibat persetubuhan yang direlakan dan tahu kesalahan yang sedang dilakukannya, maka kedua-dua keadaan itu mencapai tahap prima facie yang disabitkan Mahkamah Syariah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Kini tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu termasuk menyekat laman web lucah daripada terus dilayari.

Selain kerajaan berperanan menyekat penyebaran laman lucah, ibu bapa juga bertanggungjawab memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang mendedahkan mereka kepada perkara yang menjerumuskan mereka ke kancah maksiat.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url