Kagum dengan KAFA


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai radio online rasminya, TheRedWarriorsFM (Trw.FM) selain mengeluarkan produk perniagaan jenama Warriors.

Sijil rekod tersebut diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan disaksikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Leona Paul.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena perasmian Karnival The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Trw.FM dilancarkan oleh Ahmad Shabery pada 21 Mei lalu manakala produk perniagaan jenama Warriors ialah jersi, seluar, jam, baju-T, topi, pelekat kenderaan dan beg.

Selain itu, KAFA juga membuka kafe The Red Warriors Stations yang terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau kagum dengan kemajuan KAFA dalam usaha mengangkat imej bola sepak tanah air setaraf kelab-kelab bola sepak tersohor luar negara.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

Tambahnya, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdikari.

“Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, inisiatif KAFA merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain di negara ini.

“Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Bharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara,” ujarnya.

- KOSMO!

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.