Top Ad 728x90

,

Kekejaman Pol Pot punca kemunduran rakyat Kemboja

SIAPA Pol Pot? Beliau dilahirkan di Wilayah Kompong Thrum pada 19 Mei 1925 dengan nama Salothi Sar. Beliau daripada keluarga yang berada dan menjadi Perdana Menteri Kemboja pada 1976 hingga 1978. Ketika berkuasa, negara itu dikenali sebagai Kempuchea. Pol Pot juga sangat rapat dengan keluarga diraja sejak kakaknya menjadi gundik raja.

Beliau lulusan kolej dan sekolah teknikal sebelum melanjutkan pelajaran ke Perancis dan menjadi sukarelawan briged buruh antarabangsa untuk membina jalan di Yugoslavia pada 1950. Ketika di seberang laut, Pol Pot terbabit Komunis Perancis – pergerakan antipenjajah yang menyokong perang Vietnam menentang Perancis. Beliau kemudian menyertai gerakan rahsia komunis dikenali sebagai Cercle Marxiste yang kemudian mengambil alih Persatuan Pelajar Khmer pada 1951.

Berikutan gagal peperiksaan, Pol Pot terpaksa kembali ke Kemboja pada 1953. Dalam beliau mengajar kesusasteraan Perancis dan sejarah, beliau kembali menjadi penghubung antara parti politik seperti Demokrat dan Pracheachon dengan gerakan komunis bawah tanah. Pada 1960-an, Kerajaan Kemboja menahan anggota Pracheachon dan Pol Pot bangkit serta-merta menjadi setiausaha parti komunis.
Pembabitan dalam gerakan komunis mendorong beliau melarikan diri ke Vietnam di mana beliau menubuhkan gerakan Khmer Rouge. Pol Pot mula berkuasa di Kemboja apabila ibu kotanya, Phnom Penh ditawan pada 1975. Parti itu memulakan matlamat untuk membendung kapitalisme dengan memindahkan semua warga kota itu ke kawasan luar bandar. Wang tidak ada nilainya lagi. Makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok.

Pihak yang menunjukkan penentangan akan dibunuh secara kejam. Daripada lapan juta penduduknya pada 1975, dua juta daripadanya dibunuh. Kemunduran mencetuskan krisis kebuluran, namun mereka enggan menerima bantuan asing.

Pada 1978, Vietnam memasuki Kemboja dan menyebabkan Pol Pot melarikan diri ke Thailand. Beliau menghabiskan 20 tahun tinggal di kem dalam hutan di sempadan Thailand-Kemboja. Pada 15 April 1998, dia diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika. Pol Pot yang menghidap penyakit Hodgkins dan barah serta lumpuh, dilaporkan mati ketika tidur. Persoalannya ialah adakah beliau mati kerana penyakit atau membunuh diri.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Kemboja, Dr Sos Mousine, berkata Pol Pot bertanggungjawab di atas kemunduran penduduk Kemboja sekarang termasuk etnik Melayu Cam.
“Beliau membina penjara tanpa tembok terbesar di dunia. Kami hanya fikir bahawa esok mungkin akan mati,” katanya merujuk kepada penderitaan rakyat negara itu ketika pemerintahan Pol Pot.

Cerita kekejaman Pol Pot dan tentera Khmer Rouge sangat banyak dan kini kebanyakan sejarah itu sudah dibukukan dan sebahagian lokasi pembunuhan itu dikekalkan sebagai muzium.

Mengenai musim kemarau sekarang, beliau berkata: “Penduduk terus menunggu bila hujan akan turun. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun. Mereka tidak ada kerja.”

Dr Mousine berkata, etnik Melayu Cam bukan malas, tetapi keadaan mereka sekarang disebabkan tidak ada pendidikan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Nusantara Technologies Sdn Bhd, Datuk Ghazali Yusoff, ketika ditanya pembabitan pihaknya dalam membantu menganjurkan Persidangan Antarabangsa Warisan Melayu di Indochina berlangsung di Phnom Penh, baru-baru ini, berkata: “Ini sumbangan saya kepada saudara saya di rantau ini.”

Beliau juga dalam rancangan membina kompleks khas di Janda Baik, Pahang untuk dijadikan pusat penyelidikan, persidangan dan kegiatan berkaitan kebudayaan Melayu serantau oleh mana-mana pihak berminat termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun persatuan.

Di tanya mengenai masa depan Melayu Cam, Ghazali yakin Kerajaan Kemboja jujur dalam membenarkan usaha membina semula sosioekonomi serta pembangunan dakwah dalam komuniti etnik itu.

“Kemboja pun negara anggota ASEAN. Jadi, kita kena bekerjasama secara erat dengan semangat ASEAN untuk membantu mereka (Melayu Cam). Kita adalah bersaudara. Jadi saya sangat optimistik terhadap (masa depan) Melayu Cam,” katanya.

Katanya, Melayu Cam boleh maju dengan syarat mereka bekerjasama dengan orang Melayu lain dan lingkungan diaspora Melayu yang lebih maju.

“Mereka sebahagian daripada diaspora Melayu. Kalau bangsa lain boleh melakukan sesuatu terhadap diaspora mereka, kenapa kita tidak boleh melakukannya. Yang penting kita susun pelan dan tindakan kita,” katanya.

Namun, seperti kebanyakan generasi muda lain yang mula mengecap nikmati pembangunan, perkara sama berlaku di Kemboja.

“Anak muda sekarang tidak mahu tahu kepayahan ayah dan datuk mereka 30 tahun dulu. Bagi mereka, itu tinggal sejarah dan tidak ada kena mengena dengan mereka lagi,” kata Ou Namm, pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90