Kemuka resit bukti baharui cukai jalan jika disenaraihitam
Ini berikutan sistem rekod saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihubungkan dengan pangkalan data JPJ ada ketikanya mengalami gangguan teknikal, khususnya waktu puncak hingga mengganggu proses mengemaskini rekod.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, menjelaskan walaupun sistem rekod berkomputer itu antara yang terbaik, namun gangguan di luar jangkaan tidak dapat dielakkan, terutama pada sistem jaringannya hingga mengambil tempoh tertentu untuk dipulihkan.
Sistem COPS (Computer Online Payment Systems) kita memang dihubungkan secara terus ke JPJ. Ini membolehkan mereka memantau secara langsung (online) setiap saman yang sudah dijelaskan, sekali gus memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan JPJ. Masa diambil untuk mengemaskini rekod hanya 10 minit.
Justeru, tidak timbul isu rekod bayaran saman tidak dikemaskini hingga menyusahkan orang ramai. Gangguan teknikal ini hanya masalah kecil dan tidak perlu dibesarkan. Jika sistem ada masalah, orang ramai jangan risau sebab mereka boleh menunjukkan resit masing-masing kepada JPJ, katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas rungutan orang ramai, terutama kesukaran mereka yang disenaraihitamkan berurusan dengan JPJ walaupun sesudah menjelaskan saman berikutan sistem rekod kedua-dua agensi itu didakwa tidak dikemaskini.
Pada 1 Oktober tahun lalu, Pasukan Trafik Bukit Aman mengalami gangguan pada rangkaian komputernya selama 48 jam, menyebabkannya ramai pemilik kenderaan tidak dapat menjelaskan saman mereka di seluruh negara.
PDRM dan JPJ sentiasa bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, namun segelintir masyarakat seolah-olah sengaja menjadikan gangguan teknikal itu sebagai alasan untuk mengkritik, kerana tidak berpuas hati terhadap isu tertentu.
Untuk rekod, sehingga kini PDRM tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung sistem yang diguna pakai sekarang, sehingga diajukan oleh media, katanya.
- BERITA HARIAN