Skim persaraan 1Malaysia tabungan terbaik individu bekerja sendiri

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang dilancarkan, Januari lalu memperlihatkan keprihatinan kerajaan membantu rakyat tanpa mengira latar belakang termasuk bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap membuat caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan hari tua.

Skop itu kemudian terus diperluaskan kepada suri rumah, baru-baru ini turut memberi peluang dan pembuka laluan golongan terbabit membuat persediaan dari segi kewangan untuk membiaya pelbagai perbelanjaan sebagai jaminan asas kewangan sebaik saja mencecah usia persaraan.

Caruman skim yang tidak disyaratkan menyimpan secara bulanan sebaliknya pada bila-bila masa dengan potongan serendah RM50 hingga RM5,000 sebulan itu pula tidak dianggap membebankan dan mampu menarik minat golongan itu menyertai skim berkenaan.
Banyak manfaat boleh diperoleh dengan penyertaan caruman ini, selain memperoleh dividen tahunan, mereka turut menerima insentif tambahan sebanyak lima peratus setiap tahun sehingga 2014.

Jika sebelum ini, pekerja dan majikan swasta diwajibkan mencarum mengikut Akta KWSP 1991, kini ia terbuka kepada mereka sehingga berumur 55 tahun bagi mendapatkan perlindungan kewangan kepada golongan yang bekerja sendiri dan tidak tetap.

Jumlah rakyat Malaysia bekerja sendiri ramai. Sebilangan mereka memang lebih senang dan memilih bekerja sendiri kerana tidak mahu terikat dengan majikan atau berhadapan dengan pelbagai kerenah, selain lebih mudah merancang jadual seharian.

Ramai juga kalangan suri rumah yang bergelar usahawan sama ada berskala besar atau kecil-kecilan mencarum dalam KWSP. Hasil pendapatan mereka bukan tidak saja dapat disimpan dengan lebih terjamin dan mendapat dividen tahunan, malah ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan pada hari kemudian.
Berdasarkan laporan, minat rakyat terhadap skim itu agak memberangsangkan. Sejak dilancarkan Januari lalu, 14,786 individu termasuk pemandu teksi, nelayan, petani, penjaja dan karyawan sudah menyertai skim itu dengan caruman berjumlah RM13.2 juta.

Ternyata banyak manfaat yang bakal diterima pencarum, selain dividen dan insentif lima peratus diterima setiap tahun, mereka juga layak mendapat faedah seperti ahli lain kecuali faedah hilang upaya.

Mereka yang berminat perlu mengisi maklumat lengkap dalam borang KWSP 16D (AHL) berserta salinan kad pengenalan dan mengemukakannya di kaunter KWSP, manakala yang sudah ada akaun KWSP, hanya perlu mengisi borang KWSP 3 (AHL) dan mengemukakan kepada KWSP bersama borang KWSP 16D (AHL) dan salinan kad pengenalan.

Individu ingin mencarum boleh datang ke di mana-mana kaunter bayaran di KWSP sama ada untuk urusan pendaftaran atau caruman di seluruh negara atau secara pos ke alamat Jabatan Caruman, Bangunan KWSP, Jalan Gasing, 46598, Petaling Jaya.

Kewujudan KWSP memang relevan sebagai skim simpanan nasional menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan serta sentiasa komited menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan serta urus tadbir korporat.

Dilihat dari segi peranannya, KWSP boleh menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi negara sebagai institusi simpanan terkemuka negara, namun kemudahan bagi mencarum dalam skim ini perlu penambahbaikan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menyimpan untuk perancangan kewangan mereka pada selepas mencapai usia persaraan.

Ketika ini, kerajaan juga hanya memberikan komitmen menyumbang lima peratus atau maksimum bayaran RM60 kepada pencarum sepanjang tempoh sehingga 2014.
Sejajar dengan slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, diharapkan komitmen itu diteruskan supaya rakyat mendapat manfaat dan simpanan mereka lebih berganda.

Kelemahan lain, kepada individu seperti suri rumah atau golongan lain bukan semuanya mempunyai kemudahan mengakses internet. Oleh itu, bagaimana mereka ingin mendapatkan borang untuk mencarum. Alternatif mereka adalah terpaksa ke ibu pejabat sedangkan proses itu perlu dilakukan setiap bulan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata pihaknya akan menambah baik beberapa aspek untuk memudahkan orang ramai membuat urusan, selain menggalakkan lebih ramai mencarum sebagai persediaan merancang kewangan mereka selepas bersara.

Katanya, pihaknya sedang meneliti beberapa keperluan bagi penambahbaikan itu serta melihat kelemahan yang ada serta melihat trend orang ramai berkaitannya.

“Sejak dibuka Januari lalu, penyertaan pelbagai pihak di kalangan mereka yang bekerja sendiri menggalakkan. Bagi penyertaan suri rumah, ia masih awal lagi dan yakin ada yang berminat menabung,” katanya.

Mengenai sumbangan kerajaan sebanyak 5 peratus tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun itu, ia hanya diberikan dalam tempoh kira-kira lima tahun dan bergantung kepada komitmen kerajaan sama ada disambung selepas 2014.

Pada dasarnya, Skim Persaraan 1Malaysia ini adalah inisiatif terbaik dalam mewujudkan sebuah komuniti dan institusi kemasyarakatan yang lebih teguh dari segi tabungan mereka untuk keperluan pada masa depan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url