Panduan dapatkan tidur yang cukup
1. Disiplin
Biasakan tidur mengikut waktu yang tetap setiap hari. Selain itu, anda juga perlu membataskan waktu tidur siang agar tidur malam tidak terganggu. Bagi segelintir orang, hal ini memang diakui agak sukar untuk diamalkan. Namun, bagi mendapatkan tidur yang mencukupi, anda perlu tekad untuk cuba melakukannya.
2. Senaman teratur
Dengan melakukan aktiviti olahraga yang teratur (20 hingga 30 minit seminggu selama tiga hingga empat kali) anda dapat menghilangkan segala ketegangan dan kekusutan yang mungkin dialami. Dengan yang demikian, senaman yang biasa anda lakukan itu sedikit sebanyak dapat membantu anda mendapatkan tidur yang selesa. Sementara bagi anda yang sering sibuk dengan tugasan harian, cukuplah sekadar melakukan senaman ringan sahaja. Anda boleh lakukannya di waktu pagi ataupun petang hari. Sehubungan itu, elakkan aktiviti berat sebelum tidur. Ini penting kerana aktiviti seperti itu akan membuatkan mata anda kekal segar dan sukar untuk terlelap.
3. Suasana tenang
Wujudkan suasana tidur yang nyaman. Oleh kerana itulah, pastikan bilik tidur anda mempunyai elemen ini. Antara lain, anda juga boleh menimbulkan suasana yang tenang dengan mendengar muzik lembut sambil membaca bahan bacaan ringan. Dalam pada itu, gunakanlah lampu yang malap (lampu tidur) dan bukannya lampu kalimantang yang boleh menerangkan seluruh bilik tidur anda.
4. Jaga perut
Elakkan daripada tidur dengan perut yang terlalu kenyang. Jadi, jangan makan dua jam sebelum waktu tidur. Sehubungan itu, cuba elakkan diri daripada memakan kekacang ataupun buah-buahan yang mengandungi gas. Sebagai contohnya durian. Selain itu, anda juga perlu menghindar kudapan yang mengandungi lemak yang tinggi. Ini kerana makanan seperti itu agak sukar untuk dihadamkan. Begitu juga halnya jika anda terlalu lapar. Keadaan sedemikian, secara tidak langsung boleh mengganggu tidur. Untuk itu, sebelum tidur, makanlah buah-buahan rendah kalori seperti oren, epal dan lain-lain lagi.
5. Tenangkan perasaan
Elak terlalu banyak berfikir sebelum tidur. Oleh kerana itulah, anda perlu relaks sebelum masuk tidur. Untuk mengurangkan tekanan, anda digalakkan untuk melakukan teknik meditasi ataupun mengamalkan senaman pernafasan.
6. Alat bantu tidur
Bagi mengelakkan diri daripada berhadapan dengan gangguan tidur, anda bolehlah memakai eye mask yang berguna untuk menghalang sinaran cahaya. Selain daripada itu, penyumbat telinga juga perlu bagi mengelakkan bunyi bising.
7. Wangian
Gunakan teknik bau-bauan (aromaterapi). Ini dapat dilakukan dengan menitiskan beberapa titis minyak aromaterapi ke dalam bekas yang berisi air lalu dibakar untuk membangkitkan bau wangi yang dihasilkan daripada minyak tersebut. Selain daripada itu, anda juga boleh menggunakan kaedah menitiskan minyak aromaterapi ke atas sapu tangan dan diletakkan bersebelahan bantal tidur anda. Kaedah-kaedah ini secara tidak langsung dapat membuatkan anda tenang dan seterusnya tidur dengan lebih lena.
8. Bantal yang bagus
Salah satu elemen yang mempengaruhi keamanan tidur adalah bantal. Jadi, jangan sampai anda mengalami masalah “tersalah bantal”. Untuk itu, anda perlu lebih teliti dalam memilih bantal bersesuaian. Memandangkan terdapat beberapa ukuran standard untuk bantal yang terdapat di pasaran, pilihlah bantal yang sesuai dengan anda.
9. Gaya tidur
Posisi tidur memainkan turut memainkan peranan dalam memastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Oleh kerana itulah, anda perlu mengamalkan gaya tidur yang baik. Posisi tidur yang betul ialah posisi tulang belakang dan tulang leher adalah selari.
10. Kualiti bukan kuantiti
Tidak menjadi hal jika anda hanya mampu tidur lima jam sahaja sehari. Apa yang penting ialah setelah terjaga daripada tidur, anda dapat rasakan kesegarannya.
- Pa&Ma