Persoalan Agama: Dua situasi orang berjunub boleh baca al-Quran
Soalan: APAKAH hukumnya membaca surah Yasin tanpa mengambil wuduk?
Jawapan: ADA BANYAK hadis yang menjelaskan mengenai larangan membaca al-Quran ketika sedang berjunub. Antaranya, sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, daripada Ali Abi Talib RA yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW membacakan kepada kami akan al-Quran , selama Baginda tidak menanggung hadas besar.”
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, daripada Ibnu Umar menyebut: “Janganlah hendaknya membaca orang yang berjunub dan orang yang haid akan sesuatu dari al-Quran.”
Membaca al-Quran dengan niat tilawah (membaca), bukan niat zikir dan bukan itlaq saja, iaitu niat membaca dan tidak niat zikir, dengan pembacanya melafazkan huruf-huruf sehingga didengar sekurang-kurangnya oleh pembaca sendiri, dalam keadaan berhadas besar atau junub hukumnya adalah haram.
Tetapi melafazkan al-Quran dalam hati saja atau digerak-gerakkan bibir (kumat-kamit) tanpa memperdengarkan diri sendiri, tidaklah menjadi haram kerana kelakuan itu tidaklah disebut sebagai membaca. Dalam Hasyiatul Bajuri juzuk 1, halaman 144 sebagai berikut:
“Kata Syarih: Yang ketiga, yang haram atas orang haid adalah membaca al-Quran, ertinya dengan bahawa dilanjutkannya dan diperdengarkan dan tidak ada sesuatu yang menghalangi pendengaran. Maka jika dialirkan al-Quran dalam hatinya dengan tidak diperdengarkan akan dirinya, tiadalah menjadi haram kerana sesungguhnya yang demikian itu, bukanlah membaca.”
Untuk pengetahuan kepada saudara yang bertanya, hanya dalam dua masalah seorang yang junub boleh membaca al-Quran. Pertama, individu yang solat fardu dalam keadaan junub, padahal dia Faqidut thahurain (iaitu ketiadaan dua alat pencuci, mahu mandi tak ada air, mahu tayamum tak ada tanah, maka diperkenankan baginya dalam sembahyang itu untuk membaca surah al-Fatihah saja dan tidak boleh membaca surah lain.
Kedua, seorang yang bernazar untuk membaca Yasin pada waktu yang tertentu. Tiba-tiba, waktu yang dia bernazar itu, ia berada dalam hadas besar, lagi ketiadaan air dan tanah, maka diperkenankan baginya membaca Yasin kerana darurat.
Dalam Hasyiatul Bajuri, juzuk 1, halaman 166 seperti berikut: “Tetapi orang yang ketiadaan air dan tanah dapatlah membaca al-Fatihah pada solat yang wajib, dan sepertinya juga bacaan yang wajib di luar solat seperti orang yang bernazar untuk membaca surah Yasin, pada waktu yang tertentu, maka adalah ia pada waktu itu dalam janabah lagi ketiadaan air dan tanah. Maka sesungguhnya dapatlah dibacanya kerana darurat.”
Adapun, membaca al-Quran sesudah membuang air kecil atau besar, ada khilaf (selisih) pendapat ulama mengenai hukumnya. Ada yang menyatakan haram dan ada yang mengatakan makruh. Menurut yang ditarjihkan, yang makruhlah yang muktamad.
Seperti disebut dalam Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj, juzuk awwal, halaman 126 sebagai yang berikut, maksudnya:
“Dan janganlah hendaknya ia berkata-kata ketika buang air besar, baik dengan berzikir atau lainnya, maka berkata-kata di kala itu adalah makruh. Dan meliputi yang demikian itu akan membaca al-Quran ketika membuang air besar.”
Sebuah hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i dan ibnu Majah, daripada al-Huhajir Qunfuz, yang bermaksud: “Bahawa ia pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda sedang membuang air kecil, maka ia pun memberi salam kepada Nabi, maka Nabi tidak menjawabnya sehingga Baginda berwuduk, lalu Baginda menyatakan uzur seraya sabda Baginda, “Sesungguhnya aku benci bahawa aku menyebut Allah kecuali ketika suci.”
Sebuah hadis daripada Anas, beliau berkata, “adalah Nabi SAW apabila Baginda masuk ke tempat buang air, dicabutnya akan cincinnya.”
Dan sesungguhnya sahlah, bahawasanya lukisan cincin Baginda adalah huruf Muhammadurrasulullah.
- BERITA MINGGU