‘Sistem SPR bukan punca tidak daftar’ - SPR
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata sistem pendaftaran yang mewajibkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih mengikut alamat bermastautin tidak boleh dipersalahkan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, SPR tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan proses pendemokrasian sistem pendaftaran pengundi semata-mata hendak memuaskan hati semua pihak supaya pengundi dibenarkan mendaftar mengikut alamat semasa mereka.
“Ada pihak mahu SPR lebih demokrasi dalam sistem pendaftaran pengundi, tidak perlu ikut alamat bermastautin atau dalam kad pengenalan, tetapi sebenarnya ia akan memberi implikasi kepada Perlembagaan. Jika mahu laksanakan langkah itu, Perlembagaan perlu dipinda dan ia bukan proses mudah.
“Malah ia akan memberi implikasi negatif kepada masa depan negara,” katanya kepada Berita Harian, semalam ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai 4.3 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac lalu.
Daripada jumlah itu, 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu, manakala bukan Melayu seramai 1.7 juta dengan pecahan 1.3 juta atau 30.6 peratus kaum Cina, diikuti India seramai 400,997 orang atau 9.3 peratus.
Laporan berkenaan menyebut antara punca orang Melayu masih menjadi kumpulan terbesar belum mendaftar ialah kerana kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai warga negara, tidak peka situasi politik tanah air dan gemar mendaftar pada saat akhir.
Wan Ahmad berkata, pendaftaran pengundi tanpa perlu mengikut alamat bermastautin hanya akan menghuru-harakan taburan pengundi di sesebuah kawasan undi, malah masalah lain juga akan timbul seperti mendorong berlakunya penyelewengan, kewujudan pengundi hantu dan taburan pengundi tidak seimbang di antara kawasan undi.
“Alamat pada kad pengenalan adalah dokumen rasmi yang mengesahkan seseorang pengundi layak mengundi di kawasan ditetapkan pada alamat itu. Alasan sistem sedia ada menyukarkan rakyat mendaftar tidak wajar kerana pelbagai saluran dan kemudahan disediakan SPR bagi membolehkan mereka berbuat demikian.
“Kita banyak menyediakan kaunter pendaftaran SPR di tempat awam, pejabat pos dan pejabat parti politik. Kita turut melantik ramai penolong pendaftar parti dari setiap parti politik selain mendapat bantuan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sepatutnya tidak timbul masalah mendaftar, lagipun jika mahu menukar alamat di kad pengenalan, prosesnya hanya satu hari di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Saya tidak fikir sistem selama ini menyukarkan rakyat kerana kita sudah mengkaji sedalam-dalamnya setiap kaedah dan peraturan yang hendak dilaksanakan,” katanya.
- BERITA HARIAN