Ulang kaji di Astro

Berusaha memberikan yang terbaik untuk hiburan pelanggan setianya dan pada masa sama, Astro turut mengambil berat kebajikan dan masa depan penonton ciliknya di mana baru-baru ini, stesen satelit terunggul negara itu melancarkan Astro Tutor TV iaitu saluran baru khusus untuk membantu pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mengulangkaji peperiksaan mereka.

Saluran yang boleh didapati dari 18 Julai hingga 23 September ini, menawarkan kandungan berasaskan sukatan pendidikan sekolah di Malaysia dan perkhidmatan interaktif untuk keperluan pelajar. Selaras dengan komitmen Astro untuk menawarkan inspirasi dan peluang pembelajaran seumur hidup yang relevan melalui platformnya, saluran inovatif ini menawarkan tutorial 24 jam sehari untuk membantu pelajar UPSR mengulangkaji mengikut kemampuan dan keselesaan tersendiri untuk mereka mengulangkaji di rumah masing-masing.

Ketua Pendidikan di Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata Astro Tutor TV menumpukan kepada subjek teras UPSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matemetik dan Sains. "Melalui pendekatan yang holistik untuk persiapan peperiksaan, program yang diatur membantu pelajar menguasai tajuk yang sukar termasuk nasihat mengenai strategi pembelajaran, motivasi diri, pengurusan masa dan kepentingan menjaga kesihatan menjelang peperiksaan. "Semua empat subjek UPSR boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Mata pelajaran Sains dan Matematik pula akan disediakan di dalam Bahasa Melayu dan Mandarin tidak lama lagi.

"Kehadiran 'butang merah' di saluran interaktif ini membuatkan sesi ulang kaji menjadi lebih menarik dan menyenangkan apabila pelajar berpeluang untuk menjawab kuiz mini dengan menggunakan alat kawalan jauh.

"Juga, dengan satu sentuhan butang, fakta dan formula akan segera muncul di skrin seperti serangkai kad imbasan. Pembelajaran interaktif ini tidak terhenti di skrin TV saja apabila laman sesawang Astro Tutor TV turut menyediakan ulangan pembelajaraan, kuiz dan ujian percubaan secara online," katanya. Tambah Yasmin, program di Astro Tutor TV dibentuk dengan bantuan guru yang berpengalaman dalam bidang akademik dan motivasi. Mereka menggabungkan pengetahuan akademik dengan pendekatan holistik kepada sikap pelajar. Astro Tutor TV direka untuk melengkapkan lagi pembelajaran di bilik darjah dan meningkatkan keyakinan diri." "Kajian global menunjukkan secara purata, pelajar mampu mengingati sebanyak 50 peratus apabila mereka melihat dan mendengar berbanding 10 hingga 20 peratus apabila mereka membaca. "Tambahan kajian juga menunjukkan teknologi baru memberi kesan pembelajaran yang lebih hebat dengan membenarkan pengguna untuk memiliki interaktiviti yang lebih besar. Kajian lain pula menunjukkan bentuk pembelajaran multimodal pembelajaraan melalui media seperti televisyen dan internet terbukti untuk mencetuskan retensi mental dalam jangka panjang.

""Untuk mencapai keputusan optimal, Astro mengesyorkan ibu bapa menjadi sebahagian daripada pembelajaran itu. Ibu bapa digalakkan untuk menyertai anak mereka menonton Astro Tutor TV dan mencuba kuiz interaktif. Sokongan dan dorongan ibu bapa dapat meningkatkan pembelajaran anak," katanya. Astro Tutor TV boleh didapati secara percuma oleh semua pelanggan Astro termasuk sekolah kerajaan di seluruh negara. Layari http://www.astro.com.my/ untuk sinopsis program dan jadual. Untuk lebih informasi untuk Tutor TV, pelanggan boleh menghubungi 1300 82 3838 atau layari www.astro.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url