4,600 Anggota JPJ Pantau Jalan-Jalan Maut Pada Musim Perayaan

Sejumlah 4,600 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerah mengawasi 202 jalan maut atau berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara pada musim perayaan tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata operasi tersebut akan bermula seminggu sebelum hari perayaan dan berakhir seminggu kemudian.

"Penguatkuasaan akan dijalankan selama 24 jam dengan meminimumkan operasi statik bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri RoziMamat, yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, pada musim perayaan kali ini juga, bilik kawalan di semua pejabat JPJ negeri dan ibu pejabat akan beroperasi 24 jam sehari.

Katanya, JPJ akan menempatkan anggota penguat kuasa di 36 terminal bas di semua negeri bagi memeriksa tayar, brek, buku log kenderaan dan sebagainya manakala pihak polis, menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, akan mengadakan ujian air kencing terhadap pemandu bas ekspres.

Solah berkata, anggota JPJ di terminal bas juga akan bertindak terhadap ulat tiket yang mengambil kesempatan pada musim perayaan.

"Pengguna perlu sedar, kenapa perlu beli tiket daripada ulat-ulat sedangkan kaunter ada jual tiket," katanya.

Beliau berkata, JPJ juga akan mengambil tindakan terhadap terhadap pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih, enggan mengunakan meter serta enggan mengambil penumpang.

Katanya, pengguna boleh membuat aduan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di terminal dan Bilik Kawalan, Bahagian Penguatkuasa di semua pejabat JPJ negeri atau Ibupejabat, atau menerusi e-mel di alamat aduan@jpj.gov.my.

Seramai 36 daripada 295 Orang Asli Kampung Sungai Berua yang menjalani ujian memandu kelas B2, mendapat lesen memandu masing-masing hari ini.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url