Ekonomi China atasi Jepun

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia

Minggu ini, negara China, akhirnya menepati ramalan pakar-pakar ekonomi dunia apabila telah menundukkan Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Inilah dikatakan era kebangkitan ekonomi China di pentas dunia sejak tiga dekad yang lalu.

Selama empat dekad yang lalu, Jepun berada dalam kedudukan yang amat selesa sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, akhirnya terpaksa melepaskan kedudukannya apabila hanya memperoleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$1.29 trilion berbanding China yang berjumlah AS$1.34 trilion pada suku kedua tahun ini.

Pada tahun lepas, KDNK China adalah sebanyak AS$4.9 trilion, kurang sedikit berbanding Jepun iaitu sebanyak AS$5.06 trilion. Jumlah ini masih jauh ketinggalan berbanding KDNK Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$14 trilion pada tahun 2009.

Kadar pertumbuhan ekonomi Jepun pada suku kedua tahun ini hanyalah 0.4 peratus berbanding pertumbuhan yang memberangsangkan bagi China sebanyak 10.3 peratus. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri menyasarkan kadar pertumbuhan ekonomi China pada tahun ini adalah sebanyak 10.5 peratus berbanding hanya 3.3 peratus dan 2.4 peratus bagi AS dan Jepun.

Pada tahun lepas, China telah mengatasi AS dalam segmen pasaran automotif terbesar di dunia. Tahun lalu juga, China telah menjadi peneraju utama eksport dunia, mengalahkan Jerman.

Keupayaan China menjadi kuasa baru ekonomi dan rakan dagangan utama dunia disokong oleh pengukuhan eksportnya dan juga populasi rakyatnya yang begitu ramai sekali.

Jepun yang teruk dilanda krisis ekonomi global 2007-2009 masih tercari-cari formula untuk memperkukuhkan kedudukan ekonominya. Sejak tahun lalu, reputasi beberapa syarikat automatifnya telah teruk terjejas sehinggakan terpaksa memanggil kembali berjuta-juta kenderaan di serata dunia.

Meskipun Jepun telah mengalami pertukaran kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah pada tahun lepas, namun, ia tidak memberi sebarang harapan baru kepada pertumbuhan ekonomi Jepun.

Kerajaan Jepun di bawah Parti Demokratik pimpinan Naota Kan amat memerlukan kuasa politik yang luar biasa bagi membetulkan keadaan ekonomi Jepun. Jika tidak, ekonomi Jepun akan semakin ketinggalan jauh berbanding China dalam lima tahun yang akan datang.

Ramai yang menjangkakan China akan mengambil alih kedudukan AS sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia dalam tempoh 10-20 tahun akan datang. Jangkaan yang sama telah dibuat ke atas Jepun sejak 30 tahun yang lalu, namun sehingga kini Jepun masih tidak dapat mengatasi ekonomi AS, bahkan berkemungkinan besar terpaksa melepaskan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia kepada China pada tahun ini.

Tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku kepada China kerana di samping mempunyai banyak kekuatan, China juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri.

Paling ketara, pertumbuhan pesat ekonomi China tidak memberi rahmat kepada keseluruhan rakyatnya. Ini dibuktikan lagi dengan pendapatan per kapita China hanya sekadar AS$3,600 yang mana ianya adalah lebih rendah berbanding pendapatan per kapita Malaysia.

Maka, tidak menghairankanlah ramai rakyat China yang sanggup datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial tetapi sebenarnya memasang niat untuk bekerja secara haram di negara ini.

China juga tertekan untuk mengekalkan mata wang renminbi pada kadar tukaran rendah berbanding dollar bagi meningkatkan kebolehpasaran barangannya untuk tujuan eksport.

Di samping itu, China seharusnya mengurus jumlah hutangnya yang semakin meningkat tinggi secara berhemah dengan mengambil iktibar daripada krisis hutang yang berlaku di AS dan Eropah.

Namun, di sebalik kelemahan-kelemahan ini, China pada masa kini adalah kuasa ekonomi dunia baru yang sudah semestinya amat digeruni oleh mana-mana negara di dunia termasuklah AS.

Manakala Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan yang amat rapat dengan China sewajarnya mempertingkatkan lagi dagangan dengan negara China.

Dasar ekonomi Malaysia melalui Model Baru Ekonomi (MBE) seharusnya dapat membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari China dengan kadar yang lebih banyak lagi. Malahan, perubahan Akta Syarikat 1965 dengan Rang Undang-Undang Syarikat yang bakal diperkenalkan pada tahun 2011, Malaysia dijangka dapat memperkasakan pelaburan langsung domestiknya (DDI) di samping menarik lebih banyak FDI dari negara-negara kuasa ekonomi dunia terutamanya negara China.

Peluang yang terbentang luas ini perlulah direbut oleh Malaysia secara agresif supaya ia tidak terlepas begitu sahaja kepada negara-negara lain. Seterusnya mencapai status negara maju dengan pendapatan negara kasar (PNK) berjumlah RM1.7 trilion dan pendapatan per kapita AS$15,000 pada tahun 2020.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url