Kaspersky Anti Virus 2011


Kecemerlangan fungsi perisian anti virus Kaspersky Lab memang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana umum sudah sedia maklum dengan kehebatannya menentang 'makhluk perosak' pada peranti komputer.

Memperluaskan peranan tersebut, syarikat peneraju penyelesaian kandungan sekuriti itu baru-baru ini telah memperkenalkan versi terbaru produk anti virus untuk segmen penggunanya.

Kaspersky Internet Security 2011 (KIS 2011) dan Kaspersky Anti Virus 2011 (KAV 2011) menawarkan rangkaian penuh teknologi anti virus moden yang telah dipertingkatkan.

Menurut Pengarah Jualan Saluran Asia Tenggara bagi Kaspersky Labs Asia Limited, Jimmy Fong, produk terbaru itu dilengkapi kelebihan pengesanan tepat bagi ancaman virus dengan respons lebih pantas.

''Kaspersky Lab sentiasa memberi penekanan kepada penghasilan produk bernilai tinggi demi menawarkan perkhidmatan perlindungan anti virus terbaik kepada para pelanggan,'' katanya pada pelancaran produk tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, syarikat berkenaan telah memperkenalkan pemain badminton perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai duta Kaspersky Lab pertama dari Malaysia.

Kedua-dua produk terbaru itu menawarkan fungsi rangkaian perlindungan efektif merangkumi virus, spyware, spam dan pengesanan aktiviti penggodam.

Menerusinya, ia akan memberi peluang kepada pengguna melayari Internet dengan selesa dan menyimpan data secara lebih selamat tanpa sebarang gangguan atau ancaman daripada virus.

KIS 2011 dan KAV 2011 sesuai diintegrasikan bersama sistem operasi Microsoft 32 bit dan 64 bit bermula daripada versi XP hingga Windows 7.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi menerusi laman web www.kaspersky.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url