Top Ad 728x90

,

KLIA2 siap April 2012


SEPANG 30 Ogos – Pembinaan Lapangan Terbang Tambang murah yang baru, KLIA2 yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM2 bilion akan siap sepenuhnya pada April 2012.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad berkata, tempoh pembinaan terpaksa dipanjangkan berikutan permulaan projek yang agak lewat.

Menurutnya, masalah itu wujud kerana proses pemilihan tender dibuat secara terbuka.

‘‘Berdasarkan semua perjanjian yang dibuat, pembinaan KLIA2 akan mengambil masa 20 bulan.

‘‘Kerja-kerja tanah bagi landasan bagaimanapun agak terlewat tetapi kumpulan projek sedang bekerja keras dengan kontraktor untuk meningkatkan kadar kerja supaya landasan itu boleh disiapkan segera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah lapangan terbang itu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setakat ini, sebanyak 40 pakej kerja-kerja pembinaan telah diserahkan kepada kontraktor dan bakinya tertakluk kepada tempoh tertentu.

Bashir berkata, tempoh pembinaan KLIA2 itu turut mengambil kira saiznya yang 60 peratus lebih besar daripada saiz asal iaitu 150,000 meter persegi kepada 242,000 meter persegi.

Saiz Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) sedia ada hanya 60,000 meter persegi bagi menampung keperluan 15 juta penumpang.

Jelasnya, saiz KLIA2 itu dibuat mengambil kira evolusi model perniagaan AirAsia yang berkembang menjadi model pusat.

Perubahan model itu bakal menyaksikan 50 peratus trafik AirAsia menjadi pemindahan trafik, sekali gus memerlukan ruang kawasan bagi kemudahan pengurusan bagasi untuk pemindahan bagasi.

Selain itu, bagi keperluan keselamatan, kerajaan turut memperuntukan keperluan balai berlepas dan ketibaan bagi penumpang antarabangsa dan domestik berasingan.

Tambahnya, KLIA2 memperuntukkan sebanyak 68 pintu bagi pengendalian 30 juta penumpang setahun berbanding standard industri 55 pintu.

Saiz KLIA2 itu juga mengambil kira peranannya sebagai pusat pelbagai pengangkutan bagi menyediakan rangkaian hubungan yang lengkap. Terminal itu turut menyediakan 6,000 kawasan meletak kereta.

Pada sidang akhbar itu, Bashir berkata, KLIA2 bukan eksklusif kepada AirAsia sahaja, sebaliknya ia terbuka kepada mana-mana syarikat tambang murah yang lain.

Bashir yakin lapangan terbang itu dapat menarik kedatangan syarikat-syarikat lain apabila ia siap nanti.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90