Top Ad 728x90

,

Tengku Muhammad dimasyhur Pemangku Raja Terengganu


KUALA TERENGGANU 30 Ogos – Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan memasyhurkan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Singgahsana, Istana Maziah di sini, hari ini.

Pemasyhuran berkenaan yang berkuat kuasa Khamis lalu dilakukan selepas Tengku Muhammad Ismail, 12, mencapai umur mukalaf iaitu boleh membuat keputusan sendiri.

Majlis pemasyhuran itu diadakan ekoran Tuanku Mizan Zainal Abidin melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat pemasyhuran bermula kira-kira pukul 10 pagi selepas Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berangkat masuk ke Dewan Singgahsana dengan diiringi paluan nobat lagu Iskandar.

Ia diikuti bacaan watikah pemasyhuran Pemangku Raja oleh Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Sebelum ini, Tengku Muhammad Ismail merupakan Pemangku Raja Terengganu dengan pemerintahan kerajaan negeri di bawah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman.

Dengan pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail hari ini, secara tidak langsung, Majlis Penasihat Pemangku Raja dibubarkan.

Pada istiadat itu, Tuanku Mizan turut berkenan melantik tiga ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja berikutan Tengku Muhammad Ismail akan melanjutkan pelajaran ke luar negara bermula esok.

Majlis Perwakilan itu dianggotai adinda Tuanku Mizan, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustaffa Kamel; Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Ia selaras Syarat 1 Fasal 16 AC Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) yang memperuntukkan jika Pemangku Raja tiada dalam negeri lebih daripada 30 hari atau dengan alasan lain yang diperkenankan Sultan Terengganu, hendaklah melantik Majlis Perwakilan Pemangku Raja bagi menjalankan kewajipan baginda sebagai raja dalam negeri.

Tuanku Mizan ketika bertitah, mengingatkan perlunya pemerintah dan kerajaan bekerjasama dalam memastikan agenda pembangunan negeri diteruskan dengan tersusun.

“Perpaduan antara pemimpin, kakitangan kerajaan dan rakyat penting dalam merealisasikan agenda pembangunan. Tanpa perpaduan, ia tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna,’’ titah baginda.

Tuanku Mizan menegaskan baginda akan sentiasa memantau pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Walaupun beta jauh di Kuala Lumpur namun hati dan perasaan beta sentiasa dekat dan amat peka terhadap kemajuan negeri dan rakyat,” titah baginda.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90